
Awas “scammer” umrah
KUALA LUMPUR 7 April – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melahirkan kebimbangan berikutan meningkatnya kes penipuan umrah.
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, merujuk kepada laporan yang amat membimbangkan berhubung penipuan perkhidmatan umrah yang melibatkan penggunaan wajah selebriti dan ahli keluarga mereka secara tidak sah dan tidak bermoral dalam bahan promosi.
Perbuatan ini katanya, telah memperdaya ramai umat Islam yang berniat untuk menunaikan ibadah umrah dengan ikhlas.
“Saya ingin merakamkan simpati dan solidariti kepada semua mangsa yang telah menjadi mangsa penipuan ini. Menipu dalam urusan ibadah adalah satu pengkhianatan besar terhadap agama, terhadap amanah umat Islam dan terhadap nilai kemanusiaan,” katanya dalam hantaran ke Facebook.
Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama beliau ingin menyampaikan peringatan, nasihat serta amaran keras kepada semua pihak supaya mengambil langkah-langkah pencegahan daripada ditipu.
Antaranya menurut beliau, semak sebelum bayar. Pastikan agensi umrah berdaftar dan sah di sisi undang-undang. Rujuk laman rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk pengesahan.
“Jangan tertipu dengan media sosial. Jangan mudah percaya dengan gambar artis, testimoni atau video yang belum tentu sahih.
“Sentiasa periksa latar belakang syarikat dan perkhidmatan yang ditawarkan dan lapor segera jika menjadi mangsa,” katanya.
Mangsa atau saksi penipuan, kata beliau, hendaklah segera membuat laporan kepada pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Jangan biarkan penipu terus bebas menipu orang lain.
“Menipu atas nama agama adalah jenayah berat. Allah SWT melarang sekeras-kerasnya perbuatan ini dalam Surah Al-Baqarah ayat 188:
“Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil…”
“Saya memberi amaran kepada mana-mana individu, kumpulan, atau syarikat yang terlibat dalam penipuan perkhidmatan umrah. Berhentilah segera,” tegas beliau.
Menjadikan ibadah suci sebagai alat untuk mengaut keuntungan, ujar beliau, adalah perbuatan yang hina, keji dan tidak akan terlepas daripada pembalasan dunia dan akhirat. Kerajaan tidak akan berdiam diri. Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil tanpa kompromi.
“Saya juga menyeru kepada semua pengendali perkhidmatan umrah agar sentiasa memelihara integriti, amanah dan tanggungjawab terhadap pelanggan. Keberkatan rezeki hanya hadir dari jalan yang halal dan bersih.
“Marilah kita semua berdoa agar Allah SWT memelihara kita daripada fitnah manusia yang zalim, dan semoga semua mangsa diberikan pembelaan serta keadilan yang sewajarnya,” kata beliau.