Awas peniaga, menjual ayam standard melebihi harga kawalan satu kesalahan
ADALAH menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 jika seseorang peniaga menjual ayam standard dan ayam super melebihi dari Harga Kawalan yang telah ditetapkan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Saleh berkata, pengguna digalakkan membuat aduan di pelbagai saluran aduan rasmi KPDN jika mereka mempunyai maklumat berkenaan peniaga yang menjual ayam standard dan super melebihi harga kawalan.
Katanya, jika disabitkan kesalahan di bawah AKHAP 2011, individu boleh dikenakan denda (seksyen18) tidak melebihi RM 100,000 atau di penjara selama tempoh tidak lebih dari 3 tahun atau kedua-duanya.
“Dan kesalahan kali kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak
lebih 5 tahun atau kedua-duanya. Sekiranya kesalahan dilakukan oleh syarikat pula denda tidak lebih dari RM500,000 dan kesalahan kali kedua atau berikutnya tidak melebihi RM1 juta,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, katanya, berdasarkan pemantauan pihak Penguat Kuasa dan lebih 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN setiap hari melibatkan hampir 1,500 premis meliputi Pasar Basah, Hypermarket dan Supermarket, Pasar Mini dan Kedai Runcit di seluruh Malaysia, data yang KPDN perolehi hasil dari tindakan pemantauan harga seluruh negara menunjukkan bahawa dalam dua minggu kebelakangan ini, dari tarikh 12 Ogos 2023 sehingga 26 Ogos 2023, harga purata ayam standard di semenanjung Malaysia menunjukkan penurunan sebanyak 0.33 peratus.
Katanya, harga purata ayam standard di Semenanjung pada 12 Ogos 2023 iaitu RM8.73/kg menurun kepada RM8.70/kg pada 26 Ogos 2023.
Manakala di Sabah dan Sarawak juga menunjukkan penurunan harga purata iaitu masing-masing sebanyak 0.12 peratus (Sabah) iaitu dari RM11.30/kg kepada RM11.29/kg dan turun sebanyak 0.47 peratus (Sarawak) iaitu dari
RM10.28/kg kepada RM10.23/kg bagi tempoh yang sama.
“KPDN berharap wartawan menghubungi KPDN untuk mendapat data yang tepat dan terkini untuk mengelakkan kekeliruan dan mungkin membangkitkan keresahan di kalangan pengguna.
“Untuk makluman, harga purata ayam standard di pasaran pada bulan Februari 2023 adalah stabil pada harga kawalan dan trend penurunan mula dilihat mulai Julai sehingga Ogos 2023 dengan harga purata terendah dicatatkan pada 4 ogos 2023 di Semenanjung iaitu RM8.11/kg.
“Selari dengan itu juga, kadar inflasi terus mereda beserta dengan Indeks Harga Pengguna berada dalam jajaran menurun.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru pengguna untuk menjadi pengguna yang bijak dengan membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum berbelanja.
“Untuk itu, pengguna disarankan untuk menggunakan aplikasi PriceCatcher untuk mendapatkan maklumat terkini harga barangan keperluan harian di premis jualan di kawasan anda,” katanya.
Pengguna juga boleh memainkan peranan dan menggunakan hak pengguna dalam menyalurkan maklumat dan aduan sekiranya didapati peniaga yang tidak patuh kepada harga kawalan.
Sekiranya ada di dapati peniaga yang tidak patuh kepada harga kawalan, maka pengguna boleh juga membuat aduan kepada KPDN melalui cara berikut:
i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800;
iv. E-mel ([email protected]);
v. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN;
vi. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245,