Australia larang kanak-kanak bawah 16 tahun guna Media Sosial
Australia kini melarang kanak-kanak dan remaja di bawah umur 16 tahun daripada menggunakan media sosial.
Larangan ini diluluskan oleh Senat Australia pada 28 November dan melibatkan platform popular seperti:
•TikTok
•Snapchat
•X
Langkah ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengendali media sosial, khususnya TikTok, yang bimbang golongan muda akan beralih kepada platform alternatif yang kurang selamat.
Menurut laporan RTM yang memetik AFP, TikTok mendakwa kerajaan Australia mengabaikan pandangan pakar yang mencadangkan pendekatan lebih seimbang.
“Larangan ini berpotensi mendorong mereka mencari platform alternatif di ‘sudut gelap internet’ tanpa peraturan atau perlindungan yang mencukupi. Ini akan meningkatkan risiko pendedahan kepada kandungan berbahaya, penipuan, dan eksploitasi,” kata jurucakap TikTok.
Berkuat Kuasa Hujung 2025
Undang-undang ini dijangka berkuat kuasa pada penghujung tahun 2025 selepas diluluskan pada hari terakhir sesi Senat. Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, mempertahankan keputusan tersebut, menegaskan ia bertujuan melindungi kesihatan mental dan kesejahteraan kanak-kanak serta remaja.
Walau bagaimanapun, undang-undang baharu ini melarang syarikat media sosial daripada memaksa pengguna menyerahkan dokumen pengenalan rasmi kerajaan seperti ID digital untuk mengesahkan umur mereka, menurut laporan ABC News.
Denda Sehingga RM144 Juta
Platform yang gagal mematuhi undang-undang ini bakal dikenakan denda berat sehingga AU$50 juta (kira-kira RM144 juta). Undang-undang tersebut mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat dengan 102 undi menyokong berbanding 13 menentang, manakala di Senat, 34 senator menyokong dan 19 menentang.
Langkah ini dijangka membawa perubahan besar kepada peraturan penggunaan media sosial dalam kalangan golongan muda di Australia.