
Apple Mengaktifkan Ciri Notifikasi Apnea Tidur Dan Bantuan Pendengaran Untuk Pengguna Malaysia
Apple hari ini memperkenalkan dua ciri baharu memfokuskan kesihatan untuk pengguna di Malaysia, iaitu sokongan notifikasi apnea tidur melalui Apple Watch, dan juga sokongan bantuan pendengaran melalui AirPods Pro 2. Bermula hari ini, pengguna kedua-dua peranti berkenaan di Malaysia, boleh menikmati ciri berkenaan. Tiada sebarang kemaskini perisian diperlukan, dan ia diaktifkan untuk semua pengguna iOS 18.
Apnea tidur adalah gangguan tidur yang serius, membuatkan pernafasan terganggu beberapa kali ketika seseorang sedang tidur. Sejumlah besar mereka dengan masalah ini tidak melalui diagnosis dan tidak mengetahui akan masalah ini, dan dengan sokongan notifikasi pada Apple Watch, ia memudahkan pengguna mengetahui berkenaan dengannya untuk langkah semakan lanjut bersama doktor.
Apple menjayakan sokongan ini melalui metrik gangguan pernafasan ketika tidur, melalui penggunaan sensor pada Apple Watch. Data akan dihimpunkan selama 30 hari, sebelum berkongsi pengguna berkenaan masalah apnea tidur ini – sebelum pengguna boleh membawa data berkenaan untuk diagnosis lanjutan bersama doktor.
Untuk menggunakan ciri ini, pengguna perlu menggunakannya bersama Apple Watch Series 9, Apple Watch Series 10 dan juga Apple Watch Ultra 2.
Disamping ini, Apple turut mengaktifkan ciri bantuan pendengaran melalui AirPods Pro 2 di Malaysia. Melalui ciri ini, pengguna kini boleh melakukan ujian berkenaan kadar pendengaran telinga kanan dan kiri, dan seterusnya ia akan mengaktifkan ciri bantuan pendengaran dengan mengoptimasikan bunyi untuk telinga seseorang pengguna.
Apple mengatakan ujian pendengaran melalui penggunaan AirPods Pro 2 adalah bertaraf klinikal, dan boleh dilakukan di bilik yang senyap oleh pengguna. Ujian ini adalah sekitar 5 minit, dimana pengguna perlu menjawab sama ada mendengar sesuatu bunyi atau tidak. Selesai ujian berkenaan, data akan disimpan pada Apple Health, dan pengguna turut boleh melakukan sejumlah tetapan untuk memastikan pendengaran lebih baik. AirPods Pro 2 juga akan mula mengurangkan bunyi yang kuat supaya lebih baik untuk pendengaran pengguna melalui kemaskini ini.
Untuk menggunakan ciri bantuan pendengaran ini, pengguna perlu menggunakan AirPods Pro 2 dengan kemaskini perisian terkini, yang disatukan bersama iPhone yang menjalankan iOS 18 dan terkini. Ciri ini juga ditujukan untuk mereka yang berumur lebih 18 tahun.
Kedua-dua kemaskini ini boleh dinikmati pengguna Malaysia bermula hari ini.
Sumber berita : Amanz