
Anwar-Prabowo bincang isu tarif baharu Amerika Syarkat
KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan berhubung isu tarif baharu ditetapkan oleh Amerika Syarikat terhadap negara-negara ASEAN.
Pertemuan singkat itu berlangsung di ibu negara malam tadi, bagi menyusun langkah bersama dalam menangani isu berkenaan.
Perdana Menteri dalam hantaran ke Facebook beliau berkata, beliau menerima kunjungan silaturahim Probowo yang dianggap sebagai sahabat lama lewat petang tadi, semalam.
“Kami berbincang mengenai isu-isu serantau yang penting, termasuk dampak tarif baharu yang diterapkan Amerika Syarikat terhadap negara-negara ASEAN, selain menyentuh usaha dan tindakan bersama dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Myanmar yang terkesan akibat bencana gempa baru-baru ini.
“Semoga semangat aidilfitri terus memperkuat hubungan persaudaraan dan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia atas nama keamanan dan kesejahteraan serantau.
Terdahulu Bernama melaporkan, Setiausaha Kabinet Indonesia, Teddy Indra Wijaya berkata kunjungan Prabowo ke Kuala Lumpur adalah untuk beramah mesra sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Prabowo sangat menghormati Anwar sebagai pemimpin senior ASEAN yang berpengalaman luas.
“Beliau (Anwar) telah memegang jawatan lebih awal, lebih berusia, dan merupakan rakan akrab kepada Presiden,” katanya dalam satu kenyataan.
Teddy yang turut menyertai lawatan itu memaklumkan bahawa Presiden Prabowo akan berangkat pulang ke Jakarta sejurus selepas pertemuan itu.
“Presiden akan pulang ke Jakarta malam ini juga,” jelasnya.
Sementara itu, agensi berita ANTARA melaporkan bahawa Teddy tidak memberikan jawapan yang khusus ketika ditanya mengenai kemungkinan kedua-dua pemimpin membincangkan dasar tarif import yang diumumkan baru-baru ini oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Beliau hanya berkata, “Kedua-dua pemimpin akan berbincang tentang pelbagai perkara.”
Pada Jumaat, Anwar berkata Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN akan mengadakan rundingan dengan beberapa negara anggota blok bagi mencapai persetujuan bersama mengenai isu tarif timbal balik, demi memastikan prinsip keadilan dapat diterapkan dalam perdagangan antarabangsa.