
Anugerah bintang usahawan negara 2025 raikan kejayaan selebriti dan usahawan
ANUGERAH Bintang Usahawan Negara 2025 yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) mengiktiraf kejayaan selebriti yang bukan sahaja cemerlang dalam dunia seni tetapi juga berjaya dalam bidang perniagaan. Antara penerima utama tahun ini ialah Datuk Aaron Aziz dan Datuk Norman Abdul Halim, yang telah membuktikan kebolehan mereka dalam mengembangkan empayar perniagaan di samping terus aktif dalam industri hiburan.
Turut menerima pengiktirafan ialah wartawan Lady Boysz, Syed Wafa atau nama sebenarnya, Syed Mohd Yusof Wafa Syed Nordin Wafa, yang dianugerahkan Anugerah Wartawan Tinta Emas atas sumbangannya dalam dunia kewartawanan. Syed Wafa dikenali sebagai wartawan yang sering mengendalikan temu bual eksklusif bersama selebriti antarabangsa seperti Michael Jackson, Mariah Carey, dan Michael J. Fox, selain ramai lagi ikon terkemuka tempatan dan global.

Majlis ini turut memberi penghormatan kepada 55 individu yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Antaranya termasuk pelakon dan pengarah tersohor A.R. Badul, Poey Sting, dan Rina Eva, yang menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam industri hiburan dan keusahawanan. Sebelum ini, DPDDM juga telah menyampaikan Anugerah dan Watikah Usahawan Madani 2024 kepada 60 tokoh keusahawanan negara dari pelbagai sektor.
Dalam majlis yang sama turut Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara DPDDM dengan ReSkills Edtech Sdn. Bhd. serta Timor Leste. Perjanjian ini disaksikan oleh YM Tengku Datuk Dr. Hishamuddin Zaizi Y.A.M Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj selaku tetamu kehormat.
Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi, menjelaskan bahawa kerjasama ini bertujuan menyediakan sistem pembelajaran sebagai sebahagian daripada inisiatif kemasyarakatan Madani.
“Diharapkan melalui kerjasama strategik ini, akses kepada pendidikan berkualiti dapat ditingkatkan bagi menguntungkan semua pihak. Latihan kemahiran secara percuma juga ditawarkan supaya golongan kurang berkemampuan tidak ketinggalan dalam inovasi digital, teknologi maklumat, dan keusahawanan.”
Tambahnya lagi, inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang kepada belia B40 untuk meningkatkan daya saing mereka di pasaran kerja. Melalui kerjasama ini, pelajar dan usahawan muda akan memperoleh kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan industri.
Bercakap mengenai Timor Leste, beliau menyatakan bahawa negara itu mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan ekonomi, terutama dalam sektor pertanian dan tenaga.
“Kami mahu memastikan ahli DPDDM dapat meneroka bidang ini dengan lebih mudah melalui strategi yang telah dirangka. Kerjasama ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara dengan membuka lebih banyak peluang dalam sektor infrastruktur, pertanian, tenaga hijau, dan keusahawanan.”
Usaha Memperkasa Usahawan Muda & Projek Halia Emas
DPDDM turut komited membantu usahawan muda menerusi pelbagai inisiatif sokongan dan bimbingan.
“Kami menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan dalam tempoh enam bulan akan datang melalui pelbagai kaedah dan platform yang telah dirancang. Galakan dan inspirasi diberikan merangkumi pelbagai kepakaran, daripada golongan profesional hingga separa mahir.”
Dalam usaha mengukuhkan sektor pertanian, DPDDM juga mahu menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar Halia Emas yang berkualiti tinggi.
Selain itu, DPDDM turut bekerjasama dengan Usahacaya Urus Sdn. Bhd. dalam Projek Usahawan Vending Machines bagi membantu golongan B40. Mereka juga melancarkan Projek Usahawan Agro Tani dengan latihan bersama INSKEN bagi mengusahakan tanaman Halia Bentong di kawasan seluas 100 hektar menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) menerusi projek yang dinamakan Halia City.