Andika nafi skandal dengan isteri orang dan pekerja
PEMPEGARUH media sosial, Andika Putera menafikan tuduhan dia pernah berlaku curang terhadap bekas isterinya Ananda Natasha.
Dia juga terkejut apabila dituduh curang dengan pekerja yang merupakan isteri orang dan juga coach dalam bidang motivasi.
Menurut Andika atau lebih mesra disapa Dika, mendedahkan dia dan Ananda pernah bercerai buat kali pertama kerana tiada persefahaman.
“Untuk makluman semua, saya dan Natasha pernah bercerai pada tahun 2022 atas faktor tiada persefahaman, dan kemudian rujuk semula demi kebaikan anak kami, Alisha Puteri. Namun kami masih lagi tiada persefahaman sehingga kami membuat keputusan untuk bercerai pada Disember tahun lalu. Penceraian ini juga berlaku secara baik dengan bekas isteri.
“Walaupun sudah bercerai, saya masih berusaha melakukan tanggungjawab sebagai seorang ayah sebaik mungkin seperti memberi duit nafkah anak dan duit mutaah setiap bulan tanpa gagal kepada Natasha selain menguruskan rawatan mata Alisha.
“Dan sepanjang berumahtangga dengan Natasha, saya tidak pernah berlaku curang dengan mana-mana pihak seperti yang didakwa.
“Ia satu fitnah yang sangat besar, lebih-lebih lagi dengan coach yang diperkatakan kerana dia sudah berkahwin dan perkara ini sangat mengaibkan untuk dia dan juga saya,” katanya.
Bagaimanapun Dika mengakui atas kekhilafan kata-katanya ketika menyampaikan seminar mengenai topik hubungan suami isteri, ia telah disalahtafsir dan dimanipulasikan individu-individu yang tidak bertangungjawab. Mereka juga telah dikenalpasti untuk diambil tindakan perundangan.
“Saya mengakui rasa khilaf sangat kerana penggunaan kata-kata saya berlebihan dan mesra terhadap coach itu. Saya memohon maaf atas kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Dan seperti biasa semua seminar saya akan dirakamkan untuk rujukan akan datang. Entah macam mana pihak yang dikenalpasti sudah memberikan video berkenaankepada Natasha. Terus ia menjadi salah faham.
“Tak fasah-fasal saya dituduh curang selama 4 tahun tanpa bukti. Dalam kes ini, benar ia silap saya, tetapi seminar itu diadakan selepas saya bercerai, cuma disebabkan pihak ketiga menokok tambah, menyebabkan ia membina andaian terhadap Natasha ia berlaku sebelum bercerai,” ujarnya.
Sementara itu, Dika berharap dengan penjelasan yang diberi, isu skandal berkenaan tidak diperbesar-besarkan lagi kerana ia akan mengelirukan ramai pihak.
Dika juga menegaskan sekiranya ada pihak yang cuba untuk terus memfitnah dirinya, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah.
“Saya tidak mahu membuka aib mana-mana pihak. Kerana itu selama ini saya hanya menjalani kehidupan seperti biasa dan menguruskan komitmen harian saya.
“Cukuplah tuduh saya macam-macam. Hentikan atau saya akan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menjatuhkan reputasi saya,” tegasnya.
Terdahulu, Ananda Natasha memuat naik melalui ig story nya beri bayangan bahawa bekas suaminya itu pernah berlaku curang semasa berumah tangga.