Luar Negara
Anak gajah mati putus belalai akibat jerat pemburu haram
KEJAMNYA la setengah-setengah manusia yang hanya mementingkan wang hingga sanggup memasang perangkap yang tidak mengenal usia haiwan yang dijerat.
Di Aceh, Indonesia, kerana sikap manusia yang kejam dan tidak berhati perut, seekor anak gajah mati apabila separuh belalainya terpaksa dipotong akibat terkena perangkap pemburu gading.
Menurut Ketua Agensi Pemuliharaan Aceh, Agus Arianto, anak haiwan itu mati selepas dua hari dirawat dan mereka telah melakukan yang terbaik untuk memberikan rawatan kepada anak gajah betina berusia setahun itu.
Haiwan yang hidup secara berkumpulan itu ditemukan oleh pegawai hidupan liar dalam keadaan yang sangat lemah serta belalainya hampir putus, Ahad lalu.
“Kami telah cuba yang terbaik, tetapi kematiannya tidak dapat dielakkan. Belalainya menjadi semakin reput dan tidak lagi berfungsi,” katanya.
Kata Agus, pegawainya terpaksa memotong separuh daripada belalai gajah itu dalam satu pembedahan kritikal membabitkan hidup atau mati di pusat santuari gajah di Banda, Aceh.
Pasukan perubatan yang merawat anak gajah itu terkejut dengan kematiannya kerana ia kelihatan sihat dan aktif selepas belalainya dipotong.
Bedah siasat sedang dijalankan oleh sepasukan doktor haiwan bagi menentukan punca kematian anak gajah itu.
Kegiatan pemburu haram dikatakan semakin meningkat selepas ramai terkesan akibat COVID-19 sehingga memaksa mereka kembali melakukan aktiviti tidak berperikemanusiaan itu.
Anak gajah itu merupakan antara spesies terakhir daripada 700 ekor gajah Sumatera liar yang wujud di pulau berkenaan.
Untuk rekod, jumlah gajah Sumatera yang maut akibat dijerat atau diracun kini telah mencecah sehinga 25 ekor sejak sembilan tahun lalu, melibatkan di kawasan Aceh Timur sahaja.
Data juga menunjukkan populasi gajah Sumatera telah menurun daripada 1,300 ekor pada 2014 kepada 693 pada tahun ini, iaitu penurunan hampir 50 peratus dalam tempoh tujuh tahun lalu.-SM