Nasional

AMK sifatkan kenyataan Akmal mengelirukan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh sebagai mengelirukan orang awam dan tidak menghormati proses-proses yang sudah dijalankan secara sah oleh Lembaga Pengampunan serta Mahkamah Persekutuan.

Ketuanya Ezzat Hanuzi berkata, sebagai seorang ahli politik, Muhammad Akmal perlu bertanggungjawab memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara, bukannya merosakkan kepercayaan tersebut dengan kenyataan yang tidak berasas.

“Sebagai ahli sebuah parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan, Akmal seharusnya menunjukkan rasa hormat, setia kawan.

“Bukan membuat kenyataan tidak berasas yang mencerminkan sikap tidak matang yang boleh menimbulkan permusuhan dikalangan parti yang membentuk kerajaan bersama,” katanya dipetik pada satu sidang media di Kota Bahru pada Isnin.
Ezzat berkata, kenyataan Muhammad Akmal  itu dangkal berhubung pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018.

Ketuanya, rayuan pengampunan penuh Anwar dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-51 pada 16 Mei 2018 mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan tersebut mendapat perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Sultan Muhammad V juga Sultan Kelantan setelah ia dijalankan dengan telus serta mematuhi semua prosedur perundangan.
Justeru, katanya, Muhammad Akmal tidak wajar membuat kenyataan yang mengelirukan orang awam selain perlu menghormati proses-proses yang sudah dijalankan secara sah oleh Lembaga Pengampunan serta Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu beliau menuntut Akmal membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Malaysia memerlukan pemimpin yang berintegriti dan berwawasan, bukan yang menimbulkan kekeliruan atau ketegangan tanpa sebab kukuh,” tegas Ezzat pada sidang media tersebut.

Muhammad Akmal baru-baru ini menyoal sama ada pengampunan Anwar Ibrahim pada tahun 2018 mengikuti prosedur yang betul atau tidak.

Hal itu sebagai respon kepada kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) baru-baru ini yang memperjelas permohonan bekas PM, Najib Razak untuk tahanan rumah mesti melalui Lembaga Pengampunan.

Anwar memperoleh pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V kerana baginda pada ketika itu menganggap kes dikenakan kepada Presiden KEADILAN itu terdapat pelanggaran prinsip keadilan.

Manakala pengampunan terhadap Najib pula sudah diperoleh pada Febuari lalu dengan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya.
Pertikaian wujud setelah itu sama ada wujudnya perintah tambahan (titah adendum) supaya Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah yang belum disahkan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button