Hiburan

Alif Satar kembali pulih, minta jangan pulaukan pesakit Covid-19

Selebriti yang sebelum ini disahkan positif Covid-19, Alif Satar meminta masyarakat menghentikan stigma negatif dan tidak memulaukan individu yang dijangkiti wabak tersebut.

Penyanyi lagu Damba CintaMu yang disahkan pulih Covid-19 selepas dikuarantin selama 12 hari di Hospital Melaka itu berkata tiada siapa yang minta dijangkiti wabak tersebut termasuk dirinya.

“Hentikanlah memulau, mengasingkan atau memandang serong terhadap mereka yang terkesan dengan wabak ini.

“Malah, Islam juga menitik beratkan sifat kasih dan sayang serta kepentingan menjaga hubungan sesama manusia,” katanya.

Dalam pada itu, Alif juga memberitahu yang dia telah keluar dari hospital pada 2 Disember lalu dan sudah bersama dengan keluarganya.

Jelasnya, dia terlebih dahulu berjumpa dengan kedua orang tuanya sebelum berjumpa dengan isteri dan anak-anak yang disahkan negatif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan kedua.

“Saya juga mengambil keputusan untuk berehat seketika untuk meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak. Selepas itu barulah saya kembali bekerja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Alif turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk produksi Muzik-Muzik, JS Pictures dan semua rakan industri yang prihatin serta bertindak pantas selepas dirinya disahkan positif Covid-19.

Katanya, dia juga menyatakan rasa syukur selepas dimaklumkan bahawa semua yang terlibat di set penggambaran, rakan-rakan artis dan kru produksi Muzik-Muzik negatif dan bebas dari Covid-19.

“Terima kasih juga kepada para doktor, jururawat dan barisan hadapan di Hospital Melaka dan Hospital Sungai Buluh sepanjang saya dan ahli keluarga dirawat,” jelasnya.

Alif pada 22 November lalu memaklumkan yang dirinya positif Covid-19 iaitu dua hari selepas dia terlibat dengan separuh akhir muzik-muzik 35 yang diadakan di Sri Pentas 2, Shah Alam.

Susulan itu, kesemua kru produksi dan penyanyi serta individu yang terlibat dengan program tersebut telah menjalani ujian saringan.

Sementara itu, isteri Alif dan anak-anaknya juga disahkan negatif Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button