SETELAH sekian lama kemarau dengan kemenangan dan banyak kali asyik kalah di pusingan pertama atau kedua, Lee Zii Jia bangkit pada Terbuka Thailand untuk mara ke akhir.
Dia kini hanya selangkah untuk memenangi gelaran pertamanya, setelah menewaskan pemain pilihan kelapan kejohanan dari Taiwan Chou Tien Chen.
Pemain perseorangan lelaki nombor satu Malaysia itu yang berkedudukan ke-10 dunia itu, mengalahkan Tien Chen 18-21, 21-12 dan 21-13 dalam masa 66 minit di Stadium Nimibutr, hari ini.
Ketika ditemui selepas perlawanan dia berkata gembira dengan prestasi kali ini kerana tewas set pertama beliau dapat bangkit memenangi dua set selepas itu.
“Prestasi keseluruhan saya telah meningkat, dan saya berharap akan dapat menang esok, walaupun saya akan berhadapan perlawanan sukar menentang Angus Ng Ka Long,” katanya kepada media di sini.
Pemain pilihan keenam kejohanan akan berhadapan Angus dari Hong Kong esok, selepas pemain itu menewaskan pemain tuan rumah dan bekas juara dunia dari Thailand Kunlavut Vitidsarn 21-14, 18-21 dan 21-19. – SM