Nasional

Ajaran The Ahmadi sesat, bercanggah dengan ajaran Islam dan hukum syarak – MKI

AJARAN The Ahmadi Religion of Peace and Light difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Dr Nooh Gadot berkata, keputusan itu dibuat susulan persidangan jawatankuasa itu pada 26 hingga 28 Jun lepas.
“Mana-mana individu atau kumpulan orang yang mengamal dan menyebar fahaman, ajaran dan pegangan seumpama ini adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.
“Orang Islam hendaklah menjauhi fahaman dan ajaran ini serta dilarang berpegang dan beramal dengannya. Mana-mana orang Islam yang telah mengikut dan mengamalkan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Oleh itu kata Nooh, sebarang publisiti, pengajaran, penulisan, penyiaran dan penerbitan bahan bercetak, audio visual atau apa-apa yang berkaitan dengan ajaran itu adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat.
Bekas Mufti Johor itu memberitahu, antara kepercayaan dan ajaran The Ahmadi yang bercanggah dengan agama Islam adalah pengikutnya mempercayai Muhammad bin al-Hassan al-Askari (Imam syiah yang ke-12) sebagai Imam al-Mahdi dan beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman.
Selain itu, pengikut ajaran berkenaan juga percaya Ahmad al-Hasan yang digelar al-Yamani berperanan sebagai utusan kepada Imam al-Mahdi yang akan membawa syariat baharu dan terakhir yang menyempurnakan ajaran serta syariat para Nabi terdahulu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button