Nasional

Agong sekali lagi titah sidang Parlimen diadakan segera

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah sekali lagi menzahirkan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera.

Al-Sultan Abdullah bertitah sidang Parlimen perlu diberlangsung bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentangkan di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara tersebut dititahkan oleh Al-Sultan Abdullah kepada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr. Rais Yatin dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizah Harun yang mengadap Baginda di Istana Negara hari ini.

Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadhil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 perlu meneruskan sesi mesyuarat masing-masing.

Ini bagi melaksanakan tugas mereka sebagai mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya takbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani dasar-dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Pada sesi mengadap tersebut, Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitment dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin.

“Perlu dijelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendiran Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berpelembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang,”
katanya.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat untuk bersama-sama mendoakan supaya negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung dan diakhiri dengan segera.

Turut mengadap Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamed dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sesi mengadap bermula pada pukul 11 pagi tadi di Istana Negara.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button