Nasional

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke istiadat menjunjung kasih

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke istiadat perbarisan menjunjung kasih.

Istiadat perbarisan berkenaan yang diadakan bersempena dengan tamat pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan, berlangsung di Kem Perdana, Sungai Besi.

Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Jan 2019 selepas menggantikan Sultan Muhammad V iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Kali terakhir istiadat sama diadakan adalah pada 2016 semasa Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Istiadat itu melibatkan 40 pegawai dan 888 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga ketumbukan tentera iaitu darat, laut, dan udara.

Keberangkatan tiba baginda berdua dimulakan dengan hormat diraja oleh anggota perbarisan yang diketuai Mohd Azamri Abdullah sebelum lagu Negaraku didendangkan oleh gabungan pancaragam tentera, selain tembakan kehormatan artileri sebanyak 21 das turut mengiringi lagu kebangsaan.

Perbarisan juga menyaksikan terbang lintas hormat lima helikopter yang masing-masing membawa Jalur Gemilang, bendera angkatan tentera, bendera tentera darat, udara, dan laut.

Sultan Abdullah kemudian berkenan memeriksa perbarisan dengan menaiki kenderaan pemeriksa.

Terdahulu, anggota perbarisan melaksanakan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan laju sebelum mara menghadap pasangan diraja berkenaan.

Satu persembahan khas melibatkan seorang pegawai dan 306 anggota lain-lain pangkat membabitkan gabungan pancaragam pusat bersama Drumline dan Brassband Tentera Darat turut memeriahkan istiadat itu. – SM

BACA Agong melawat Galeri Padi di Sekinchan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button