Nasional

Agihan bantuan awal persekolahan bermula 13 Januari

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 sesi persekolahan 2024/2025 bermula pada 13 Januari 2025.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memberitahu, agihan BAP bagi murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 pula akan dilaksanakan mulai 16 Februari 2025 manakala agihan kepada murid Tingkatan 6 baharu akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2025.

Kerajaan MADANI memperuntukkan sejumlah RM791,250,000 khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar) yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta orang murid.

Pada tahun ini, buat pertama kali inisiatif BAP akan turut diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6.

Agihan BAP kepada murid akan dilakukan oleh pihak sekolah menggunakan kaedah seperti berikut:

  • Serahan tunai kepada ibu bapa (sekolah rendah) atau ibu bapa/murid (sekolah menengah); atau
  • Pengkreditan ke akaun bank murid; atau
  • Pengkreditan ke akaun bank ibu bapa (dilaksanakan mulai tahun 2025).

Inisiatif BAP menyerlahkan keprihatinan Kerajaan MADANI untuk membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan yang bakal menjelang. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button