Agensi, syarikat swasta digalakkan majukan pelancongan Perlis
PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima undangan bagi mengadakan lawatan kerja ke pejabat MyUS Group of Companies dan Smart Leisure & Travel Sdn. Bhd. Cawangan Kuala Lumpur di Tingkat 9, Menara MBMR No 1, Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengerusi Eksekutif MyUS Group, Datuk Nellsen Young.
MyUS merupakan sebuah syarikat yang menghubungkan jaringan antara pelabur, syarikat dan perniagaan di Amerika Syarikat untuk sebarang peluang perniagaan yang berpotensi di Malaysia, juga sebagai pintu masuk utama ke ASEAN.
Gabungan pengalaman global syarikat, rangkaian yang luas dan wawasan akar umbi tempatan menjadikannya rakan kongsi yang ideal untuk pelabur dari luar yang ingin menerokai ekonomi ASEAN yang berpotensi tinggi ini.
Smart Leisure & Travels Sdn. Bhd. pula adalah sebuah agensi pelancongan yang berpangkalan di Malaysia.
Smart Leisure & Travels diperakui dan diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk mempromosikan Malaysia, terutamanya kepelbagaian budaya, tradisi, kesenian Sarawak dan interaksi rakyat dengan rakyatnya kepada dunia.
MyEco Discover Sdn. Bhd. yang merupakan ahli Kumpulan MyUS sedang menjalankan satu projek di Gua Kelam Perlis yang diberi nama ClubRock, dimana ianya merupakan kem induk ‘rock climbing’ pertama di Malaysia yang akan mula beroperasi tahun hadapan.
Menurut Young, syarikat ini juga mula memfokuskan kepada bidang pelancongan di sekitar Perlis dengan menyediakan beberapa pakej istimewa bagi menarik lebih ramai lagi para pelancong dalam dan luar untuk ke negeri ini.
Semasa pra-pelancaran ClubRock Perlis, syarikat menawarkan Pakej Pengembaraan eksklusifnya iaitu penginapan 3 hari 2 malam untuk empat orang sebilik termasuk sarapan pagi, telah diperkenalkan sebagai promosi tarikan kepada para pelancong.
ClubRock Perlis akan memulakan jelajah pameran dan jualan ke seluruh negara bermula di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang serta seterusnya di Perlis, sehinggalah ke pembukaan secara rasminya pada Januari 2024, sejajar dengan Tahun Melawat Perlis 2024–2025.
Tuanku Syed Faizuddin Putra semasa lawatan berkenan menzahirkan harapan agar MyUS Group akan lebih maju dan berjaya di masa hadapan.
Baginda turut mengalu-alukan lebih banyak lagi agensi dan syarikat swasta dapat bekerjasama dengan Kerajaan Perlis khususnya untuk memajukan lagi bidang pelancongan. – SM