Mahkamah

Adakah pesara berhak terima pampasan kerana kelewatan membayar baki pencen?

Oleh: Tun Abdul Hamid Mohamad

(Saya akui saya adalah satu pihak berkepentingan. Tetapi, itu tidak bererti saya tidak berhak membincangkan isu ini. Saya akan melakukannya dengan seberapa neutral yang saya boleh lakukan, mengemukakan hujah-hujah kedua belah pihak dan menjemput pembaca membuat keputusan sendiri.)

Fakta:

Sebelum 1 Januari 2014, penyelarasan pencen dibuat apabila semakan gaji dilakukan, mengikut formula yang ditetapkan. Akta Saraan Hakim (Pindaan) 2014 [Akta A1462] berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014. Mulai tarikh itu Kerajaan membayar pencen pesara-pesara berkenaan mengikut formula yang ditetapkan di dalam akta itu. Kesannya, jumlah yang dibayar kepada pesara-pesara itu kurang daripada bayaran mengikut formula sebelumnya. Ini bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan (Perkara-Perkara 125 (7) dan 125(9), bagi Hakim).

Kes (Datuk) Ian Chin Hong Chong yang ditentang oleh Kerajaan berakhir di Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Kerajaan untuk mendapat kebenaran merayu. Kesannya, Akta A1462 tidak berperlembagaan kerana ia mengurangkan amount pencen kepada pesara. Mahkamah itu juga mengarahkan Kerajaan untuk mengira semula pencen pesara-pesara itu, membandingkannya dengan amount yang telah dibayar kepada mereka bagi tempoh yang sama dan membayar kepada mereka bakinya. Ini telah dilakukan. Pesara telah menerima baki pencen mereka.

Soalnya, bolehkah pesara menuntut pampasan (compensation) di atas kerugian yang mereka alami kerana baki pencen mereka itu dibayar sebelas tahun lewat?

Hujah Kerajaan:

Penyelarasan pencen yang dibuat oleh Kerajaan adalah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Ian Chin pada 17 Oktober 2024. Kerajaan adalah terikat dengan keputusan Mahkamah tersebut dan tuntutan pampasan adalah di luar keputusan Mahkamah.

Hujah pesara

Pesara bersetuju Kerajaan dan pesara terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Ian Chin itu.

Pesara mengaku Kerajaan telah membayar sepenuhnya baki pencen sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Ian Chin itu.

Pesara bersetuju tuntutan pampasan adalah di luar keputusan Mahkamah itu.

Pesara mengatakan oleh sebab tuntutan pampasan terletak di luar keputusan kes itu, keputusan itu tidak menghalang mereka daripada membuat tuntutan pampasan

Pesara menghujahkan, oleh sebab kecuaian atau kesilapan Kerajaan, dengan tidak membayar pencen pesara-pesara itu sepenuhnya, pada masa ia sepatutnya dibayar, Kerajaan telah menafikan hak pesara-pesara itu untuk ATAU telah menghalang mereka daripada, memperolehi keuntungan yang sah daripada wang mereka itu jika ia dibayar seperti yang dikehendaki oleh undang-undang kepada mereka. Sebagai misalan, mereka boleh melabur dalam ASNB dan memperolehi dividen daripadanya.

Kelewatan membayar baki pencen mereka selama sebelas tahun secara tidak sah itu telah menyebabkan kerugian kepada mereka yang hendaklah dipampaskan (compensated) secara yang adil. Membayar pampasan kepada mereka berdasar  kan kadar yang bersamaan dengan dividen ASNB atau KWSP adalah berpatutan dan adil.

Kerajaan tidak boleh bersandar kepada (rely on)  premis yang tidak sah (undang-undang yang tidak berperlembagaan) untuk mengelak daripada membayar pampasan ke atas kerugian yang disebabkannya kepada pesara-pesara itu.

Kerajaan tidak boleh bersandar kepada penghakiman Mahkamah Persekutuan itu untuk mengelak daripada tanggungjawab membayar pampasan kepada pesara-pesara itu kerana, seperti yang dihujahkan oleh Kerajaan, isu pampasan berada di luar penghakiman itu.

Kewajipan Kerajaan membayar baki pencen itu bukan bermula apabila Mahkamah Persekutuan memberi keputusannya pada 17 Oktober 2024. Pencen pesara perlu dibayar mengikut formula asal termasuk bagi tempoh 1 Januari 2014 hingga 31 Oktober 2024 dan perlu dibayar dalam tempoh itu lagi.

Apakah keputusan anda? (What is your verdict?)

11 01 2025

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button