MKI dipengerusi Raja Pemerintah, tak mahu Islam dipolitik
TIDAK mahu agama islam terus dipolitikkan, pemilihan Raja atau Sultan sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dilihat menjadi satu usaha bagi mengatasi masalah campur tangan politik dalam perihal agama islam.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Afifi al-Akiti berkata institusi Raja memainkan peranan penting dalam hal ehwal pengurusan agama islam supaya ia tidak dicampur aduk oleh mana-mana parti politik.
Tambahnya, ia bersesuaian dengan agama islam terletak di bawah bidang kuasa dan budi bicara Raja-Raja Pemerintah.
Jelasnya, parti politik sudah pasti mempunyai pandangan mereka tersendiri tentang polisi yang seharusnya dibuat, oleh itu langkah pemilihan ini menjadi usaha yang terbaik bagi mengelakkan berlakunya campur tangan politik dalam bab pengurusan agama.
“Jadi di sinilah pentingnya Raja dalam memainkan peranannya agar unsur parti politik itu tidak masuk dalam bab pengurusan agama islam.
“Kita harus ingat agama islam adalah untuk semua dan bukan hanya untuk golongan tertentu” ujar beliau sambil menekankan saranan dan maqasid disebalik kenapa ada pembaharuan yang terbaharu ini.
Katanya, sebelum ini tugas tersebut disandang oleh Perdana Menteri bermula dari pemerintahan Perdana Menteri pertama lagi
Namun, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 memutuskan bahawa seorang daripada Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab Pengerusi MKI selama dua tahun serta memilih Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pengerusinya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri pula dilantik sebagai timbalan pengerusi selaras dengan perakuan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan itu. – Bernama – SM