Kit Siang beri KJ sebulan bukti kemampuan jadi Menteri Kesihatan
AHLI Parlimen Pembangkang Lim Kit Siang memberikan tempoh sebulah kepada Khairy Jamaluddin untuk menunjukkan kemampuan sebagai Menteri Kesihatan.
Kit Siang yang merupakan pemimpin kanan DAP itu berkata, Khairy Jamaluddin perlu mengatasi masalah kes jangkitan Covid-19 dan kadar kematian yang tinggi walaupun dengan kadar vaksinasi yang sedang meningkat.
Katanya, kes Covid-19 melepasi paras 20,000 pada 5 Ogos dan sejak itu terdapat 18 hari dengan jumlah kes melebihi paras 20,000 kes, enam hari dengan kes di antara 19,000 ke 20,000, dan dua hari masing-masing untuk 18,000 ke 19,000 dan 17,000 ke 18,000 kes.
“Adakah angka kes baharu dan kematian akibat Covid-19 sedang meningkat atau menurun? Angka-angka ini tinggi, tetapi kita tidak dapat memastikan sama ada ia sedang meningkat atau menurun.
“Memandangkan terdapat tempoh inkubasi 14 hari untuk Covid-19, hanya adil untuk kita menunggu 14 hari sebelum menilai Khairy sebagai Menteri Kesihatan dengan dasar, strategi, dan pedekatan baharu dalam memerangi wabak Covid-19,” kata Kit Siang di media sosialnya.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Khairy Jamaluddin telah bermula dengan cara yang tepat sebagai seorang Menteri Kesihatan dengan berjanji untuk menjadi lebih telus.
Beliau telah memberikan maklumat Covid-19 yang lebih terperinci kepada orang ramai.
Menteri Kesihatan yang baharu itu telah memulakan inisiatif untuk meningkatkan operasi Covid-19 dengan memperuntukan lebih banyak vaksin, tenaga kerja, dan peralatan perubatan ke lima negeri.
Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan Kelantan ketika ini sedang mencatatkan peningkatan mendadak kes Covid-19.
“Adakah Malaysia akan berada dalam hala tuju penurunan kes dan kadar kematian akibat Covid-19 dalam penghujung bulan ini?
“Kita berikan Khairy satu bulan sebagai Menteri Kesihatan baharu,” kata Kit Siang
Khairy Jamaluddin memulakan tugas sebagai Menteri Kesihatan yang baharu mengantikan Datuk Seri Dr. Adham Baba bermula Isnin lalu.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan tempoh 100 hari kepada anggota Kabinet untuk menunjukkan prestasi masing-masing.-SM