SEBANYAK 33 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan ke 16 buah kedai runcit yang dikendalikan warga asing pada kelmarin dan semalam di sekitar Bukit Sentosa dan Dengkil, Selangor.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 18 orang lelaki warganegara Bangladesh; 7 lelaki (Myanmar); 3 lelaki dan 2 wanita (Indonesia); 2 lelaki (Pakistan) dan seorang dari India.
“Pemeriksaan awal mendapati kesemua PATI disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan pas atau permit dan juga tidak memiliki pas yang sah untuk bekerja di premis tersebut.
“Kesemua premis didapati mempunyai lesen perniagaan yang dimiliki dan didaftarkan atas nama warganegara Malaysia namun disyaki disewakan kepada warganegara asing,” katanya.
Menurut Khairul Dzaimee, semasa serbuan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan membuat provokasi namun dapat dikawal.
Jelasnya, kesemua PATI yang ditahan selepas serbuan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu sebelum ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih, Selangor.
“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Seramai enam orang warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambahnya, orang ramai digesa supaya menyalurkan maklumat tentang aktiviti PATI atau pun mana-mana premis yang disyaki dijalankan oleh warga asing secara tidak teratur. -SM