Nasional

Kecoh kajian isu transgender: satu salah faham – Pesuruhjaya Suhakam

PESURUHJAYA Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk Seri Hishamudin Yunus berkata, Suhakam harus diberi kebebasan untuk mengkaji keperluan undang-undang khusus bagi mengiktiraf jantina ketiga dalam negara ini

Beliau yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan berpendapat, isu transgender adalah satu kondisi perubatan atau “medical condition” yang mana ia tidak dapat dirawat dan akan membelenggu seseorang itu seumur hidup.

Ujar beliau, jantina ketiga adalah mereka yang dilahirkan lelaki atau perempuan tetapi mempunyai “jiwa” bertentangan dengan fitrahnya.

Oleh itu, bagi Suhakam, kita tak boleh menidakkan hak asasi seseorang itu semata-mata kerana dia dilahirkan sebagai transgender, katanya  seperti mana dilaporkan FMT hari ini.

Malahan Hishamudin turut berkata, tiada undang-undang yang mengatakan menjadi seorang transgender adalah salah di sisi undang-undang.

“Tidak ada undang-undang atau Enakmen Negeri mengatakan jika seseorang itu dilahirkan transgender, ia menjadi kesalahan kerana ia adalah sifat semula jadi,” katanya.

Untuk rekod, Suhakam diminta menjelaskan projek penyelidikan yang dijalankan oleh badan itu mengenai perundangan untuk mengiktiraf jantina ketiga di negara ini oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ini susulan hantaran suruhanjaya berkenaan di media sosial mencari penyelidik untuk mengkaji kebolehlaksanaan undang-undang berhubung isu itu.

Menurut Suhakam, projek penyelidikan itu dijangka berjalan selama lima bulan bermula dari tarikh pelantikan, dengan tarikh tutup permohonan pada 30 Jun.

Bagaimanapun, warganet menyifatkan kajian itu sebagai pembaziran masa dan sumber.

Mengulas lanjut, Hishamudin berkata, kajian berkenaan hanyalah kajian dalam badan itu dan tidak membabitkan orang awam.

“Kita baru peringkat nak kaji, perkara ini adalah urusan dalaman dan bila kita nak buat kajian sudah tentu kita akan iklankan untuk dapatkan penyelidik,” katanya yang menganggap kekecohan itu sebagai satu salah faham. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button