Ahli Jawatankuasa Tamat Darurat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata Yang Di-Pertuan Agong berkenan untuk menerima majlis menghadap semua ketua daripada parti-parti politik, termasuk pembangkang.
Khairuddin dipetik berkata demikian dalam laporan Malaysiakini.
Jawatankuasa yang diwujudkan pembangkang itu sebelum ini berusaha untuk mengadap Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi memohon campur tangan baginda agar darurat ditamatkan.
Istana Negara pada April lalu memaklumkan Seri Paduka berkenan menerima majlis mengadap berkenaan, namun ia akan diadakan pada tarikh dan waktu yang akan ditentukan kemudian.
Wakil dari PKR, Amanah, Muda dan Pejuang memberitahu Malaysiakini bahawa mereka masih belum menerima jemputan rasmi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika dihubungi melalui mesej singkat, belum memberi respon.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi, turut memberikan jawapan sama dan menafikan jika Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada mengeluarkan sebarang kenyataan seumpama itu.
“Saya tiada maklumat. Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menyebut tentang perkara itu. Jadi, laporan itu belum tentu betul,” jawabnya.
Selain itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan jika perkara itu benar pasti Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memaklumkan kepada kepimpinan parti.
“Tetapi kalau Presiden tahu, beliau pasti akan maklumkan. Saya tidak dapat apa-apa maklumat, tetapi tak pastilah kalau Presiden sudah tahu. Sebab saya sudah lama tidak berjumpa dengan orang,” katanya.
Bagaimanapun terdapat maklumat mengatakan Yang di-Pertuan Agong memanggil ahli parlimen tertentu sahaja.
Sementara itu, Presiden MIC, S Vigneswaran memberitahu Malaysiakini bahawa isu untuk menghadap Seri Paduka telah dibincangkan sejak akhir bulan lalu.
“Tetapi ia ditangguhkan kerana lockdown,” katanya.
Katanya, MIC juga belum menerima sebarang jemputan rasmi.
Pemimpin MCA ketika dihubungi juga memaklumkan tidak menerima undangan sedemikian.
Khairuddin yang pertama kali memaklumkan perkara itu di Twitter berkata, majlis menghadap itu untuk mempersembahkan ‘penyatuan demi negara’ kepada Seri Paduka.
Malaysia Dateline yang merupakan media rasmi Amanah, pada awalnya memetik kenyataan presiden parti itu, Mohamad Sabu yang mengatakan akan ada “perkembangan baik” dalam masa terdekat.
Seorang pemimpin Amanah Khalid Samad ketika dihubungi Suara Merdeka turut memaklumkan tidak tahu tentang perkara itu.
Portal itu juga memetik sumber bahawa majlis menghadap yang dirancang dengan semua ketua parti politik itu akan berlangsung dari 9 Jun hingga 11 Jun.
Bagaimanapun portal itu kemudian menarik balik laporan tersebut.
Pegawai istana memaklumkan mereka masih belum menerima sebarang arahan untuk mengeluarkan kenyataan.
Menurut beberapa sumber, Baginda dijangka bertemu Presiden Bersatu yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sesi pertama, diikuti dengan parti-parti lain yang mempunyai perwakilan dalam Dewan Rakyat.
Bagaimanapun sumber tersebut menyatakan ia hanyalah pertemuan bagi mendapat pandangan dan tiada sebarang perencanaan perubahan kerajaan darurat dalam masa terdekat.
Baginda juga dijangka menggunakan pertemuan tersebut untuk mendengar pandangan isu semasa dan mengenai lanjutan proklamasi darurat.
Proklamasi Darurat yang dibuat pada 12 Januari 2021 akan berakhir pada 1 Ogos 2021 dan Baginda dijangka akan membuat keputusan pada Julai nanti sama ada akan menamatkan Darurat atau menyambung lagi.
Terdapat pandangan Darurat wajar disambung sekurang-kurangnya sehingga 31 Disember 2021 memandangkan ancaman pandemik Covid-19 masih serius membabitkan ribuan kes sehari dan usaha vaksinasi belum mencapai 50 peratus.
Bagi pelanjutan tempoh Darurat juga, Baginda dijangka akan mendengar pandangan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.