Politik

Mesej jelas supaya pemimpin, anggota patuh disiplin parti – Anwar

KONGRES Nasional PKR 2019 membawa mesej jelas bahawa pimpinan harus tegas dan bertindak terhadap pemimpin serta anggota agar patuh kepada disiplin parti, kata Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata meskipun mesej ini jelas, namun masih terdapat sesetengah pihak dalam parti tidak dapat menerima jika mereka dikenakan tindakan akibat terlibat dengan salah laku dan masalah disiplin.

“Ini mesej yang kita dengar dengan jelas, tetapi dengan cara dan kaedah lebih bijak. Bila pegang jawatan tinggi ini ada risiko dia, dan ini kawan-kawan kita, sebab itu saya ambil pendekatan lembut, saya tidak pernah marah.

“Macam kes SPRM (pemecatan Ketua Cabang PKR Bera Zakaria Abdul Hamid dan ahli PKR negeri Pahang Ismail Dulhadi), Lembaga Disiplin (parti) buat keputusan, MPP juga dah putuskan, macam mana Keadilan, parti reformasi minta Anwar minta maaf sebab ambil tindakan pada ahli yang terlibat dengan rasuah,” katanya semasa ucapan penggulungan pada hari terakhir kongres di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),  hari ini.

Ucapan Presiden PKR itu menjadi tumpuan banyak pihak apabila kongres tahunan itu melalui suasana ‘panas dan penuh dramatik’ ekoran tindakan luar jangka beberapa pemimpin yang keluar dewan dan tidak menghadiri persidangan, selain tindak balas pemimpin parti berhubung isu berkenaan semasa menyampaikan ucapan penggulungan mereka.

Antara pemimpin utama yang berada di atas pentas ialah Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Naib Presiden Tian Chua, Datuk A. Xavier Jayakumar dan Chang Lih Kang.

Sementara itu, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Ketua Wanita Haniza Mohamed Talha serta beberapa Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pula tidak hadir. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button