Duit pembedahan cukup atau tidak, saya serah pada Allah – Bob Lokman
SEJAK semalam, tular berkenaan kisah pelakon, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman memerlukan kira-kira RM60,000 untuk kos pemasangan alat menstabilkan denyutan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD).
Disebabkan kos yang terlalu tinggi dan kekangan lain, pembedahan yang sepatutnya dijalankan secepat mungkin itu perlu mengambil beberapa masa sedikit.
Namun, Bob memberitahu yang urusan tersebut telah dipermudahkan dan dia berkemungkinan akan menjalani pembedahan pada Selasa hadapan.
“Nak buat IACD ini bukan senang sebab memerlukan pakar dan tahap kesihatan pun kena berada dalam keadaan baik.
“Pada mulanya hendak buat di HUSM tetapi pakar perubatan yang terlibt itu perlu menjalani kuarantin kerana Covid-19.
“Alhamdulillah, berkat daripada bantuan rakan-rakan akhirnya telah menemukan sebuah hospital yang boleh melaksanakan pembedahan itu minggu hadapan,” katanya kepada Suara Merdeka hari ini.
Namun di atas permintaan pihak hospital tersebut, Bob tidak boleh mendedahkan nama dan lokasi pusat perubatan itu.
Dalam pada itu, Bob turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabatnya yang banyak membantu daripada segi kewangan dan bantuan lain.
Jelasnya, dia beruntung kerana memiliki ramai kenalan yang sanggup membantu walaupun ada yang tidak pernah bersua muka.
“Saya rasa terharu sangat sebab begitu ramai kawan-kawan yang tampil dengan cepat untuk membantu.
“Sebelum ini saya selalu ada projek kutip derma dengan beberapa kumpulan dan bila tiba giliran saya, cukup pantas hingga semuanya dipermudahkan.
“Duit cukup atau tidak saya belum tahu. Tapi saya yakin rakan-rakan dan Allah akan bantu. Kalau terpaksa berhutang pun, saya sanggup,” katanya.
Ditanya mengenai keadaannya kini, jelas Bob, dia berada dalam keadaan yang baik dan perlu mengawal dirinya supaya tidak bergerak terlalu banyak.
Menurutnya, pergerakan yang terlalu banyak boleh menyebabkan jantungnya berdegup kencang sekaligus memberi risiko pada dirinya.
“Saya punya tahap kepenatan agak tinggi. Sebab itu kena kawal.
“Selain itu saya kena kawal pengambilan makanan seperti tidak mengambil gula, garam dan sebagainya sebelum menjalani pembedahan,” ujarnya.
Bagi sesiapa yang ingin menderma, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank bernombor 162348359386 atas nama Relawati Daud (isteri Bob) atau akaun Maybank bernombor 564490211159 atas nama Muslim Care Malaysia. -SM