Nasional

Raja Muda Perlis saran rejimen Askar Wataniah tingkatkan pengambilan

Rejimen Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia disarankan agar terus melipatgandakan lagi usaha dalam membuat pengambilan anggota sukarela baharu mengikut sasaran yang telah ditetapkan.

Selain pengambilan di kalangan para pelajar IPTA dan IPTS, keutamaan pengambilan juga perlu daripada pekerja kategori Jabatan Kerajaan dan Agensi Awam yang bermastautin di Perlis selain pengambilan di kalangan anak watan negeri ini sendiri. Bagi mencapai hasrat tersebut, usaha-usaha pelaksanaan promosi, galakan dan pendedahan hendaklah dilaksanakan dengan lebih agresif.

Selain itu, semua pegawai dan anggota perlu bersama-sama membantu menyebarkan maklumat tepat dan membangkitkan semangat bagi mengembalikan anggota sukarela yang telah lama meninggalkan latihan yang dianjurkan oleh pihak rejimen.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Perbarisan Komander Tahun 2020’ yang diadakan di Kem Bukit Keteri, Beseri pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda ke majlis yang turut disekalikan dengan ‘Pembukaan Latihan Teknikal 70 Rejimen Pakar Askar Wataniah (RAJD) Tahun 2020’ tersebut disambut oleh Panglima Briged Ke 6 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Halim Khalid dan Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

Hadir sama ialah Pegawai Memerintah 70 Rejimen Pakar Janaelektrik Rejimen Askar Jurutera DiRaja Leftenan Kolonel Datuk Muhammad Razif Abd Rahman merangkap Ketua Pegawai Insan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Komander rejimen yang memegang slogan “Di Latih Untuk Perang” berkenaan turut mengajak semua anggotanya baik pegawai mahupun lain-lain pangkat supaya hadir dan jalanilah setiap latihan serta pelbagai kursus kepakaran yang bakal melayakkan kenaikan pangkat. Pelbagai insentif juga bakal diterima sepanjang menjalani latihan dan kursus seperti elaun, insuran dan pelbagai manfaat lain.

Turut diadakan di akhir program ialah majlis pemakaian pangkat Mejar Kehormat yang disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda kepada Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kangar, Wan Ahmad Fazli Wan Kamis, Pakar Obsterik & Sakit Puan Di KPJ Specialist Hospital Kangar, Dr. Hari Ram a/l Ramayya, Pengarah Urusan Syarikat Shorubber Sdn. Bhd, Imran Ibrahim dan Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Abdul Malik Hassan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button