Ini bukan zoo, ini Dewan Rakyat, kata Azhar
PENGALAMAN mengendalikan Dewan Rakyat yang diibaratkan zoo kerana riuh rendah dengan Ahli Parlimen yang bermacam-macam pelakukan dan perangai selama kira-kira dua jam merupakan satu pengalaman yang baik.
Datuk Azhar Azizan Harun yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan mengangkat sumpah kira-kira pukul 2.30 petang itu berkata, dia banyak belajar daripada pengalaman pertama hari ini.
“Ini bukan zoo, ini Dewan Rakyat, satu pengalaman yang baik , kita belajar dari pengalaman ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mantan Speaker Tan Sri Ariff beliau merupakan bekas pensyarah saya, rakan kongsi firma guama dan banyak terhutang budi dengan sumbangan ke arah proses reformasi Parlimen,” kata Azhar.
Beliau menjawab demikian selepas ditanya oleh wartawan adakah beliau menyesal menerima tawaran sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas apa yang dialami hari ini.
Menurut Azhar, beliau menerima tawaran jawatan itu sebelum Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Chini. Dia tidak menolak tawaran berkenaan kerana pelantikan itu dianggap sebagai satu penghargaan kepada dirinya dan keluarga dan sebagai cara untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.
Dalam tempoh yang pendek hari ini Azhar diasak oleh Ahli Parlimen pembangkang yang tidak dapat menerima pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pembangkang menolak pelantikan Azhar kerana mendakwa tidak berpeluang mengemukakan nama calon bagi jawatan tersebut dan tidak melalui proses pengundian untuk memilih Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.
Beberapa ahli Parlimen pembangkang yang tidak dapat mengawal perasaan kedengaran menjerit tidak ada maruah dan malu speaker kepada Azhar.
Selain itu seorang Ahli Parlimen DAP Kasthuri Patto yang tidak berpuas hati dengan gelaran gelap yang didakwa dilemparkan oleh Ahli Parlimen Baling Datuk Stu Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mendesak Azhar mengenakan Peraturan Mesyuarat terhadap Abdul Azeez.
Keadaan hiruk-piruk itu menyebabkan seorang petugas Parlimen membantu mengajar Azizan cara bagaimana untuk menutup mikrofon daripada berfungsi.
“Kita akan cuba mengawal, itu tugas saya dan tugas Timbalan Yang Dipertua. Kita akan cuba sedaya upaya pertahankan peraturan mesyuarat, untuk memperkasakan institusi Parlimen.
“Ini tugas bersama dan juga tugas ahli Parlimen, jika meraka mahu terus berkelakuan begitu biarlah, rakyat akan mengadili mereka,” kata Azhar dalam sidang akhbar hari ini.-SM