Covid-19: Hishammuddin tukar pandangan dengan UAE
KESEMPATAN dan peluang dalam menghadapi pandemik Koronavirus (Covid-19) dimanfaat sepenuhnya kerajaan untuk berkongsi pandangan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Selain membuka peluang dan penambahbaikan dalam menangani wabak, perkongsian itu mampu memperkukuh hubungan dua hala.
[BACA] Covid-19: Hampir 70 peratus pesakit di Malaysia sembuh — Suara Merdeka
Itulah yang dilakukan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein apabila menghubungi rakan sejawatnya dari UAE.
Menerusi panggilan video dengan Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa UAE, Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan, beliau mengagumi cara negara itu mengendali isu pendidikan ketika wabak Covid-19.
“Kami banyak bercakap mengenai fokus utama seperti pakej rangsangan ekonomi, bekalan makanan, dan perkhidmatan kesihatan dari sudut ubat dan vaksin.
“Seperkara yang dibangkitkan dan mengagumkan saya ialah perancangan UAE berkaitan pendidikan.
[BACA] Rohingya: Khalid tak faham-faham – Najib — Suara Merdeka
“Bagaimana pembelajaran jarak jauh dimanfaatkan oleh UAE,” katanya dalam Facebook malam ini.
Tambahnya, perkara berkenaan itu akan dirujuk kepada Menteri Pendidikan, Dr Mohd. Radzi Md. Jidin untuk dihubungkan dengan Menteri Pendidikan negara itu, Hussein Ibrahim Ah Hammadi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Hishammuddin menzahirkan penghargaan kepada Perwakilan Malaysia di Abu Dhabi dalam usaha membawa pulang 91 rakyat Malaysia di UAE.
Mereka terkandas selepas kerajaan UAE mengenakan perintah sekatannya dalam membendung wabak Covid-19.
[BACA] Pelajar IPTS, IPTA balik kampung mulai malam ini — Suara Merdeka
“Alhamdulillah, mereka telah sampai di Kuala Lumpur tengah malam tadi menaiki pesawat ETIHAD Airways dan terus dibawa ke pusat kuarantin untuk jalani kuarantin wajib 14 hari,” ujarnya. – SM