Politik

PH berdiri bersama golongan tertindas, dizalimi, kata Khalid Samad

PENGARAH Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad menegaskan Pakatan Harapan akan berdiri teguh bersama golongan yang tertindas dan dizalimi.
Menurut bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, adalah menjadi kewajipan dalam Islam untuk membela golongan yang ditindas dan dizalimi.
“Ya, PH berdiri bersama golongan yang tertindas dan dizalimi. Itu kewajipan agama Islam.
“Agama Melayu Islam saya tak tahulah. Kalau menyamun pun ok, mungkin tidak membela mangsa kezaliman pun ok,” ciap Khalid di Twitternya.
Beliau membalas ciapan seorang pengguna Twitter, Amirul Amri Alwe yang berkongsi dua gambar Khalid bersama dengan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) Zafar Ahmad Abdul Ghani.
“Padanlah PH sayang Rohingya. Em okay,” kata Amirul pada kapsyen gambar tersebut.
Khalid sebelum itu membidas laporan yang mendakwa pihak berkuasa menghalau 200 Rohingya masuk perairan negara pada 17 April lalu.
Laporan tersebut menyatakan tindakan pantas pesawat C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang berjaya mematahkan cubaan seramai 200 pendatang tanpa izin Rohingya daripada memasuki perairan negara.

Pesawat yang diterbangkan Mej Faizul Hussein itu sedang melaksanakan tinjauan maritim udara di perairan Langkawi dan berjaya mengesan kehadiran sebuah bot pendatang tanpa izin dari memasuki perairan negara pada kira-kira 10.30 pagi.

Dengan keadaan penempatan serta kehidupan daif di tempat asal mereka, dibimbangi kumpulan warga asing yang cuba memasuki Malaysia sama ada melalui jalan darat atau jalan laut akan membawa kluster baharu penularan Covid-19 ke negara ini.

“Takkan kerajaan Melayu Islam PN bersikap begini? Sama ada Rohingya Muslim atau pelarian Vietnam dahulu, biarlah pendekatan kita berhati perut.
“Ada cara lebih baik tangani masalah ini sambil menjaga diri kita. Bukan mengusir mereka ke laut yang pasti ke arah kematian. PH tak buat,” ciap Khalid.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button