CEO syarikat penyiaran antara 5 ditahan terbabit pengubahan wang haram
Lima individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat penyiaran media di Sarawak di tahan polis selepas disyaki terlibat dalam penggubahan wang haram dan pecah amanah
Kelima-lima individu itu ditahan dalam serbuan berasingan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman dalam Op Ragada di Sarawak dan Pulau Pinang.
Mengesahkan tangkapan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kesemua yang ditahan berusia 26 hingga 62 tahun.
Beliau berkata, tangkapan tersebut dilakukan susulan maklumat risikan dan maklumat mendapati terdapat pengaliran wang mencurigakan dikenal pasti membabitkan beberapa akaun bank sejak 2017 hingga September, tahun lalu.
Malah katanya, siasatan mendapati wujud aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan yang mencurigakan dan pecah amanah oleh pengarah syarikat.
“Suspek disyaki turut menipu tender selain menganugerahkan tender kepada diri sendiri dan ahli keluarga.
“Susulan itu, pihak polis menahan seorang lelaki yang juga CEO sebuah syarikat serta dua anaknya serta dua lagi individu termasuk seorang wanita,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, hasil daripada serbuan dijalankan, pihak AMLA turut menyita serta membekukan pelbagai aset termasuk kenderaan, akaun bank dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 420 KK, Seksyen 403 KK dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009,”ujarnya.
Terdahulu, tular klip video penahanan seorang lelaki di sebuah syarikat penyiaran di Kuching, Sarawak yang dikongsi di laman Facebook Sarawak Update.
Berdasarkan klip video terbabit, lelaki berkenaan lengkap memakai penutup muka sambil diringi oleh beberapa anggota polis keluar dari pekarangan pejabat penyiaran itu.