Raja Muda Perlis terima taklimat Land Bridge Ranong – Chumpon
RANONG, Thailand – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima taklimat mengenai cadangan perancangan Land Bridge Ranong – Chumpon di Thailand yang disampaikan oleh Gabenor Wilayah Ranong, TYT Suphot Phutikiatkhajorn.
Menurut kenyataan MAIPs, sesi taklimat tersebut adalah sebahagian daripada program yang diaturkan sempena lawatan kerja Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke wilayah berkenaan dari 7-9 Januari 2025 yang diketuai oleh Baginda.
TYT Suphot menerangkan status terkini adalah dalam kajian dan jika dilaksanakan kelak akan merangkumi 6 lorong lebuh raya sejauh 94.9km, jalan kereta api berkembar serta 2 pelabuhan yang akan merancakkan lagi ekonomi Thailand. Lapangan terbangnya juga akan dinaiktaraf.
Terakhir sekali Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mengadakan kunjungan ke Ranong ialah pada tahun 2019. Ranong merupakan salah satu destinasi dikunjungi secara giliran di antara 6 buah Majlis Agama Islam Wilayah Andaman yang merupakan rakan strategik MAIPs sejak sedekad yang lalu.
Tuanku Raja Muda bertitah bahawa seandainya projek tersebut menjadi realiti, maka Perlis menawarkan untuk apa-apa kerjasama yang boleh dijalinkan untuk situasi ‘menang-menang’ terutama sekali dengan kewujudan Pelabuhan Darat di Padang Besar dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) yang sedang giat dibangunkan sekarang serta cadangan projek pembangunan Pelabuhan Sanglang kelak di negeri ini.
Ketika di Ranong juga Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama Tuanku Raja Puan Muda turut meluangkan masa singgah meninjau Multi Purpose Pier of Ranong yang terletak menghadap negara Myanmar sejauh hanya kira-kira 5 kilometer sahaja dari situ.
TYT Suphot yang baru sahaja dilantik sebagai Gabenor wilayah ini 3 bulan yang lalu juga mengiringi pasangan DiRaja tersebut melawat beberapa lokasi menarik di bandar tersebut termasuklah Khao Nivet View Point yang baru sahaja siap dan dibuka untuk kunjungan orang ramai, Rattana Rangsarn Throne Hall dan juga OTOP Lifestyle Ranong.
GALERI
Foto : MAIPs.