Nasional

MOSTI tawar geran penyelidikan perubatan RM50,000

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) kini membuka permohonan kepada saintis Malaysia bagi memohon Geran Penyelidikan Perubatan Ranjeet Bhagwan Singh (RBS) 2025.

MOSTI dalam satu kenyataan berkata, penyelidik tempatan berusia 40 tahun dan ke bawah dalam bidang perubatan dan bioperubatan dialu-alukan untuk memohon geran berprestij ini, yang menawarkan
pembiayaan sehingga RM50,000 bagi menyokong inisiatif penyelidikan inovatif.

Permohonan akan dibuka sehingga 28 Februari 2025.

Geran Penyelidikan Perubatan Ranjeet Bhagwan Singh dianugerahkan setiap tahun bagi memperingati legasi mendiang Dr Ranjeet Bhagwan Singh, seorang perintis dalam penyelidikan perubatan.

Geran yang diberikan ini adalah menerusi Tabung Amanah Penyelidikan Perubatan RBS, ditubuhkan melalui wasiat Dr Ranjeet bagi mempromosi dan meningkatkan aktiviti penyelidikan dalam bidang sains perubatan
dan bioperubatan.

MOSTI berperanan sebagai pemegang amanah Tabung ini bersama ASM sebagai agensi pelaksana.

Sejak tahun 1997, Geran Penyelidikan Perubatan RBS telah menyokong lebih daripada 28 projek penyelidikan dan 11 bengkel teknikal berjumlah lebih RM860,000.

Inisiatif ini memainkan peranan penting dalam menyokong usaha penyelidikan terutamanya dalam bidang onkologi dan penyakit berjangkit.

Pencapaian penerima Geran Penyelidikan Perubatan RBS pada tahun-tahun sebelum ini telah menjadi pemangkin dalam pembangunan vaksin, penyelidikan kanser, pencegahan penyakit, dan inisiatif kesihatan awam, menyumbang kepada kemajuan penyelidikan klinikal negara.

Bagi tahun 2025, seorang penyelidik akan dipilih untuk menerima geran ini melalui proses penilaian yang akan dijalankan oleh MOSTI dan ASM.

Pemohon yang layak mestilah warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia, berusia 40 tahun dan ke bawah, mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dan sedang berkhidmat di Institusi Pengajian Tinggi atau Institut Penyelidikan dalam negara.

Penerima yang terpilih perlu melengkapkan penyelidikan beliau dalam tempoh 24 bulan, dengan dana yang diberi akan disalurkan kepada institusi penerima.

MOSTI terus komited dalam memupuk penyelidikan yang mampu memberikan impak besar seterusnya memacu penciptaan nilai dan pembangunan mampan, dengan berfokuskan kepada bidang perubatan dan penjagaan kesihatan.

Inisiatif seperti Geran Penyelidikan Perubatan RBS adalah usaha penting dalam menyokong pembangunan R&D perubatan negara dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Penyelidik yang berminat boleh mengemukakan permohonan menerusi www.akademisains.gov.my/2025-rbs/ sehingga jam 11.59 malam pada 28 Februari 2025. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi sekretariat Geran Penyelidikan Perubatan RBS melalui e-mel di [email protected] atau telefon di 03-6203 0633 sambungan 131/155. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button