Tema anti rasuah 2024, ‘Bersatu Bersama Belia Memerangi Rasuah: Membentuk Integriti Hari Esok’
PENCEGAH rasuah bukan sekadar satu tanggungjawab kerajaan, tetapi suatu perjuangan bersama yang melibatkan setiap lapisan masyarakat, terutamanya golongan belia. Dengan semangat yang jitu, generasi muda negara ini perlu menjadi barisan hadapan dalam memerangi rasuah, kerana masa depan negara ini bergantung kepada sejauh mana kita berjaya membentuk budaya integriti yang kukuh.
Oleh itu Tema Hari Antirasuah Antarabangsa 2024 tahun ini, ‘Bersatu Bersama Belia Memerangi Rasuah: Membentuk Integriti Hari Esok’, merupakan seruan kepada setiap lapisan masyarakat negara ini untuk menggembleng tenaga dan berjuang bersama-sama ke arah melahirkan generasi belia kalis rasuah dan komuniti bebas rasuah.
Ketua Pegawai Eksekutif Masa Depan Malaysia, Azril Mohd Amin berkata, tema ini amat signifikan sekali kerana ia bukan sahaja menggambarkan betapa pentingnya elemen integriti menjadi budaya dan acuan masyarakat dalam memerangi rasuah yang sekian lama menjadi barah, malah sebagai manifestasi pihak kerajaan dalam menyemai jiwa membenci rasuah di kalangan anak-anak muda.
Menurut beliau, mengambil iktibar daripada angka yang membimbangkan — 2,332 belia berusia 16 hingga 40 tahun ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan rasuah dalam tempoh lima tahun — kita harus sedar bahawa gejala ini telah meresap jauh ke dalam struktur masyarakat kita. Pendidikan dan kesedaran adalah kunci untuk memastikan belia kita bukan sahaja memahami bahaya rasuah, tetapi juga menanamkan nilai-nilai integriti sejak awal.
Sebagai sebahagian daripada komitmen menuju Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), usaha memerangi rasuah perlu dijadikan teras dalam membangunkan sebuah negara yang bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan. MASA, selaku penggerak utama dalam agenda ini, menyeru agar lebih banyak mekanisme pemantauan dilaksanakan, untuk memastikan pelan-pelan strategik, termasuk Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, benar-benar memberi impak dalam memperkukuh sistem governans dan membudayakan integriti dalam kalangan rakyat Malaysia.
Namun, perjuangan ini memerlukan usaha kolektif. Bukan hanya di peringkat kerajaan dan sektor swasta, tetapi juga di rumah dan sekolah. Dalam konteks ini, pendidikan pencegahan rasuah perlu diberi penekanan yang lebih besar, dengan melibatkan semua pihak. Di sekolah, sebagai contoh, peranan Rakan Muda perlu diperkasa untuk memberi pendedahan kepada belia mengenai kepentingan hidup bermoral dan bebas rasuah. Inisiatif seperti penubuhan Kelab Rasuah Busters dan pengukuhan modul integriti di peringkat universiti adalah langkah yang tepat untuk melibatkan belia secara langsung dalam perjuangan ini.
Kerjasama dengan sektor korporat, melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), turut memainkan peranan penting dalam mendekati golongan belia di luar sistem pendidikan formal. Ini membuka ruang bagi syarikat untuk bekerjasama dalam menyebarkan kesedaran mengenai nilai-nilai integriti, serta memupuk budaya menentang rasuah yang lebih meluas dalam masyarakat.
Apabila rasuah diterima sebagai suatu norma, ia bukan sahaja merosakkan sistem, tetapi turut memberi kesan besar kepada kehidupan seharian. Oleh itu, adalah amat penting bagi kerajaan untuk menerjemahkan iltizam politik dalam menganjurkan strategi pencegahan yang lebih berkesan, termasuk memperkasa pendidikan antirasuah dan memastikan mekanisme pemantauan yang lebih komprehensif. Hanya dengan cara ini, Malaysia dapat mengorak langkah untuk mencapai matlamat meletakkan negara dalam kedudukan 25 teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2033.
”Justeru, setiap individu, tanpa mengira peranan atau kedudukan, perlu berganding bahu dalam membentuk sebuah negara yang bebas rasuah. Perjuangan ini adalah untuk generasi akan datang, dan setiap langkah kecil yang diambil hari ini adalah sebahagian daripada perubahan besar yang diimpikan,” Kata Azril.