Hiburan

”Kararter lakonan kau adalah REAL YOU yang aku sebagai isteri kena hadap baran kau dulu”-bekas isteri Jay

BERKONGSI kisah duka yang mengejutkan, bekas isteri kepada pelakon Jay Iswazir, Azzahra Ahmad, mendedahkan bahawa suaminya pernah mendesaknya untuk menggugurkan kandungan anak mereka. Dalam perkongsian yang sangat emosional, Azzahra mengungkapkan betapa Jay Iswazir tidak berperikemanusiaan dalam tindakan tersebut, mendesak dia untuk mengorbankan anak mereka dengan alasan tidak mampu menanggung beban.

“Ada ke suami yang tergamak paksa isteri gugurkan anak sendiri? Jantan tak guna macam kau je yang sanggup buat macam tu! Sepatutnya kau dah lama kena berkas tapi aku masih ada rasa ehsan nak jaga nama kau, takut periuk nasi kau tertutup. Aku tak buat laporan polis, kau tahulah!” tulisnya dalam nada yang penuh kemarahan.

Azzahra juga tidak menahan perasaan apabila mendedahkan sikap sebenar Jay Iswazir yang hanya menunjukkan wajah gembira dan kelakar di depan rakan-rakan, tetapi sebenarnya menghadapinya dengan sikap psiko dan baran di rumah.

“Depan kawan-kawan kau tunjukkan diri kau yang kelakar, happy-go-lucky, tapi yang kena hadap baran dan psiko kau dekat rumah adalah aku,” jelas Azzahra, yang masih dalam tempoh idah meskipun telah bercerai dengan pelakon tersebut pada Oktober lalu.

Tambah mengejutkan, Azzahra juga mendedahkan bahawa Jay Iswazir sudah pun mencari ‘mangsa’ baru, meskipun bekas isteri masih dalam proses idah.

“Sekarang, ketika aku masih dalam idah, kau masih ada hati nak cari mangsa baru?!” ujarnya dengan penuh kecewa, sambil menyeru wanita di luar sana untuk berhati-hati agar tidak menjadi mangsa seterusnya.

Azzahra juga tidak malu menceritakan bagaimana tindakan suaminya yang kejam memaksanya untuk mendapatkan bantuan dari unit psikologi kaunseling di hospital akibat mengalami trauma keganasan rumah tangga. Dalam satu perkongsian yang menyayat hati, Azzahra memaparkan borang perkhidmatan kaunseling psikologi, yang jelas menunjukkan isu keganasan rumah tangga menjadi punca dia terpaksa mendapatkan rawatan.

Kisah ini semakin hangat diperkatakan, lebih-lebih lagi selepas berita tentang bekas peragawati yang juga menjadi mangsa keganasan rumah tangga selama hampir 20 tahun. Ramai kenalan dan netizen memberi sokongan penuh kepada Azzahra, menyarankan agar dia mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon tersebut.

Sebelum ini, Azzahra mengumumkan bahawa perkahwinannya dengan Jay Iswazir yang dimulakan pada April 2022 telah berakhir selepas hanya dua tahun. Setelah melalui pelbagai dugaan dan penderitaan, akhirnya dia membuat keputusan untuk mengakhiri hubungan tersebut demi kebahagiaan dan ketenangan dirinya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button