Acara

Sudah tiba masanya wujudkan Kolej Tingkatan Enam Perlis

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyokong penuh hasrat Jabatan Pendidikan Negeri Perlis untuk mewujudkan sebuah Kolej Tingkatan Enam yang khusus di negeri Perlis.

Titah Baginda adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sedang merangka beberapa inisiatif untuk pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) termasuk perancangan membina Kolej Tingkatan Enam Premium pada tahun hadapan.

Tuanku Pemangku Raja bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan simbolik penyerahan Bantuan Serta-merta Pra-Universiti berjumlah RM301,200 daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 251 orang pelajar tingkatan enam di 8 buah sekolah terpilih baru-baru ini.

Keberangkatan Baginda yang juga merangkap YangDiPertua MAIPs ke majlis yang diadakan di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri di Kangar itu disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman, Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perampuan) Alawiyah Kangar, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Derma.

Setiap pelajar menerima sumbangan RM1,200 yang diagihkan kepada pelajar semester 2 yang mencapai sekurang-kurangnya CGPA 1.8.

Kolej Tingkatan Enam Perlis dilihat sebagai satu perkara yang mustahak sebagai satu langkah untuk memberikan fokus kepada program Pra Universiti Tingkatan Enam dari segi peranan, pencapaian dan prestasi kemenjadian pelajar.

Satu tapak tanah milik Kerajaan Persekutuan yang bersesuaian harus dikenalpasti untuk tujuan tersebut terlebih dahulu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button