Agama

MAIPs sampaikan sumbangan pembinaan pusat Islam di Nigeria

KANGAR 26 Ogos – MAIPs sampaikan amanah sumbangan pembinaan Pusat Islam Ibadan di Nigeria.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 bagi menjayakan pembinaan sebuah Pusat Islam di Ibadan, Negeri Oyo, Nigeria.

Menurut kenyataan media MAIPs, simbolik penyerahan sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Safar Ilmi MAIPs ke negara berkenaan baru-baru ini.

Baginda yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Yayasan Amal Al Mawaddah yang berpengkalan di Ibadan, Nigeria diwakili Pengerusi Yayasan itu, Dr. Abdulrasheed Olatunji Abdussalam dan Timbalannya, Alhaj Ridwan.

Berangkat sama ke majlis yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja itu ialah anakanda Baginda iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail yang juga Waris Kedua Negeri Perlis.

Turut hadir adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria, TYT Aiyub Omar, Kaunselor Sharmini Devi Gopal dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Zakat dan Wakaf Negeri Sokoto, Sadaukin Muhammad Lawal Maidoki serta Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor yang mengiringi Tuanku Pemangku Raja.

Pusat Islam itu apabila siap kelak dijangka dapat memberikan manfaat kepada pelbagai aktiviti yang dilaksanakan dengan memberikan fokus kepada usaha menyebarkan ajaran Islam yang sebenar dengan melaksanakan pelbagai projek amal, advokasi dan pendidikan seperti program dakwah, Ramadan, pembinaan telaga, tajaan untuk anak yatim, kursus Syariah untuk imam dan pendakwah, pengagihan al-Quran, dan pemberian sedekah dan zakat kepada fakir miskin dan melarat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button