Nasional

Chegubard kena tahan reman dua hari

SEKRETARIAT  Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard telah ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung pendedahannya berhubung dakwaan rasuah membabitkan seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi tadi.

Ia membenarkan Chegubard yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu direman selama dua hari .

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa kerana menerima pendedahan dokumen membabitkan isu rasuah pegawai tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya  kepada pemberita selepas dibawa keluar polis dari mahkamah bagi permohonan reman.

Beliau dalam pada itu mendakwa, apa yang didedahkannya itu adalah dokumen yang betul dan asli.

Sementara itu, peguam yang mewakili beliau, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Chegubard disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), dan Seksyen 233 Komunikasi an Akta Multimedia 1998.

““Polis meminta perintah reman empat hari tetapi mahkamah hanya memberikan dua hari. Jadi Badrul akan ditahan reman sehingga esok, dan dia akan dibebaskan jika tiada permohonan reman lanjutan,” katanya.

Menurut Muhammad Rafique, pihak polis telah menahan anak guamnya itu sejurus selepas dia membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Putrajaya berhubung dakwaan rasuah itu semalam.

Terdahulu, Chegubard pada 22 Julai lalu telah menyiarkan dokumen sulit di Facebooknya yang didakwa diterimanya pada 15 Julai lalu, dan mendakwa ditandatangani oleh Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan dialamatkan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia didakwa mengandungi aduan mengenai calon ‘pilihan pihak tertentu’ untuk menggantikan Rahman yang akan bersara tidak lama lagi, yang menunjukkan bagaimana individu itu terlibat dalam beberapa kes rasuah, termasuk perjanjian pemerolehan bernilai RM45 juta. –SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button