KUSKOP bakal anjur Bulan Koperasi Kebangsaan di Perlis Julai depan
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan menganjurkan program Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) dan Hari Koperasi Negara (HKN) Peringkat Negeri Perlis bagi tahun 2024 pada 5 hingga 7 Julai 2024 yang akan datang ini di Kompleks Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Perlis, Pengkalan Asam, Kangar.
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan untuk berangkat hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian program tersebut pada jumaat, 5 Julai 2024 petang.
Negeri Perlis telah terpilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran program berskala besar ini yang secara tidak langsung membantu merancakkan lagi aktiviti bersempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang bagi menjayakan sambutan BKK dan HKN ini bagi meningkatkan lagi kesedaran akan kepentingan serta keistimewaan berkoperasi kepada masyarakat.
Dalam perkembangan lain Tuanku Pemangku Raja menyarankan agar seluruh warga Perlis meluangkan masa untuk hadir bagi sama-sama mendapat manfaat dari program ini.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli yang merupakan kayuhan amal dengan objektif untuk menyifarkan kadar kemiskinan di negeri ini di sekitar Jalan Kaki Bukit baru-baru ini.
Kayuhan ini turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan bagi mengenalpasti dan mencari solusi yang terbaik buat golongan yang kurang bernasib baik ini dalam usaha keluar dari kepompong kemiskinan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyampaikan sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli beserta dua kampi beras fidyah kepada setiap penerima.
Asnaf yang terpilih pada kali ini adalah Abd Rahman Sudin, 80 tahun dari Kampung Belukar, Midah Hasin, 78 tahun dari Kampung Guar Jentik dan Musa Shahidan, 75 tahun daripada Kampung Belukar.
Tuanku Pemangku turut berkenan untuk mengadakan lawatan ke rumah Inap DeSanai Permai yang terletak di Kampung Belukar, Beseri. Rumah inap ini menawarkan persekitaran yang tenang, dikelilingi oleh sawah padi serta udara yang segar khususnya ketika waktu pagi.