Negeri

8 pelajar Perlis dipilih ke SMK Penang Free

SERAMAI lapan pelajar tingkatan 1 dari Perlis dipilih ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penang Free (PFS) bagi sesi persekolahan 2024, Isnin ini.

Para pelajar yang telah disenarai pendek ini akan meneruskan persekolahan dari tingkatan 1 sehingga ke tingkatan 5 di bawah program khas Biasiswa Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan simbolik penyerahan biasiswa kepada para pelajar berkenaan sambil disaksikan oleh ibu bapa dan penjaga pelajar di Galeri Diraja Arau.

Hadir sama Setiausaha YTSP, Datuk Johari Mohd Darus dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bergambar kenangan dengan pelajar yang dipilih ke SMK Penang Free di Galeri Diraja Arau.

Program ini merupakan salah satu inisiatif YTSP Perlis bagi membuka peluang baharu kepada pelajar-pelajar terutamanya anak jati Perlis bagi menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi dengan pendedahan sosial yang berbeza dan secara tidak langsung membina jati diri yang mampan.

YTSP Perlis memperuntukkan sebanyak RM108,000 bagi membiayai kos pengajian dan kelengkapan sekolah sepanjang lima tahun proses pembelajaran mereka.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyantuni pelajar dan waris sempena majlis penyampaian biasiswa YTSP kepada lapan pelajar dipilih ke SMK Penang Free di Galeri Diraja Arau.

Pelajar yang terpilih adalah Ku Muhammad Adam Hakim, Mifzal Rizqin Mohd Reza, Muhammad Ameer Safwan Mohd Shahril Azuan, Firadz Rifqi Mohd Rusli, Muhammad Khairil Iqbal Abdullah, Mikhail Noh Midzar Hamidzar, Muhamad Ezikrisyah Zinual dan Akmal Hafizi Azli Afesham.

PFS mempunyai kesinambungan perhubungan dengan negeri Perlis sejak sekian lamanya kerana tiga generasi pemerintahan Jamalullail adalah alumni bekas pelajar sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara tersebut iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra, Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Syed Faizuddin Putra setakat ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button