Politik

Bubar parlimen adalah pilihan yang terbaik

LANGKAH yang diambil oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah tulen iaitu untuk melantik menteri yang lebih berkualiti bagi menggantikan kabinet yang sedia ada.

Kabinet yang sedia ada terbukti telah gagal selepas mentadbir negara ini selama 22 bulan. Terlalu banyak kerosakan dilakukan. Keadaan ekonomi yang semakin nazak memerlukan barisan kabinet yang berpengalaman untuk memulihkan keadaan.

Begitu juga perpaduan antara kaum menjadi semakin parah.

Dr. Mahathir sedar kualiti itu tidak ada dalam kalangan menteri kabinet sedia ada, kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan krisis sebesar ini.

Kebanyakan menteri yang berkualiti dan berpengalaman berada di dalam blok pembangkang kerana berpengalaman memerintah negara ini selama puluhan tahun dan telah melalui proses pendedahan yang sepatutnya.

Manakala di dalam blok kerajaan oleh kerana sejak sekian lama menjadi pembangkang, apabila dipilih rakyat menjadi kerajaan mereka masih tidak dapat menyesuaikan diri dan memahami peranan yang perlu dimainkan.

Hanya beberapa orang menteri yang benar-benar faham dengan tugas mereka dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, manakala selebihnya menjadi bahan jenaka hingga ke peringkat antarabangsa.

Oleh itu apabila Dr. Mahathir menyangka mendapat sokongan dari semua pihak, beliau cuba menggerakkan langkah bagi membentuk kerajaan tanpa pembangkang iaitu kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun sistem berkenaan adalah sangat asing di negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi beraja.

Negara yang mengamalkan sistem pemerintahan tanpa pembangkang seperti Indonesia adalah sebuah negara republik di mana selain memilih wakil rakyat, rakyat juga memilih presiden yang bakal memerintah negara yang dipanggil pilihan raya presiden atau mirip kepada sistem yang digunakan oleh Amerika Syarikat.

Ia terbukti berkesan apabila Jokowi yang memenangi pilihan raya presiden beliau telah melantik lawannya Prabowo sebagai menteri dan tindakan itu telah mewujudkan politik yang lebih harmoni dan sekaligus dapat memberi tumpuan kepada pembangunan negara serta menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang kritikal pada masa ini.

Di Malaysia bagaimanapun tindakan Dr. Mahathir telah menyebabkan politik negara ini semakin berpecah daripada dua blok iaitu blok pembangkang dan kerajaan kini kepada tiga blok iaitu Blok Pas BN, Blok Pro-TUN dan Pro-PH.

Blok Pas BN selepas menolak kerjasama dengan DAP dalam membentuk kerajaan baharu, kini menuntut supaya parlimen dibubar bagi membolehkan pilihan raya diadakan dan rakyat menentukan kerajaan yang dimahukan untuk mewakili mereka.

Ini bermakna ia peluang kedua bagi rakyat membuat pilihan jika merasakan pilihan pada pilihan raya sebelum ini adalah silap dan mengelakkan kerosakan yang lebih buruk dilakukan oleh kerajaan yang tidak cekap.

Bagaimanapun Blok Pas BN yang mempunyi 60 ahli parlimen tidak digemari oleh Blok Pro-PH kerana menyedari ia lebih didominasi oleh UMNO yang merupakan parti terbesar dalam gagasan itu.

Blok Pas BN menarik balik sokongan kepada Tun apabila mereka mendapati hasrat Tun adalah untuk membentuk kerajaan perpaduan turut melibatkan DAP.

Tun juga menolak cadangan untuk menerima keseluruhan blok masuk ke dalam kerajaan.

Blok Pro-Tun pula terdiri daripada Bersatu dan serpihan PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Azmin Ali untuk membentuk kerajaan perpaduan dan mempunyai sokongan 64 ahli parlimen.

Blok ini terbentuk apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar dari PH, manakala Azmin keluar PKR bersama 10 ahli parlimen.

Blok Pro-PH pula memegang 92 sokongan ahli parlimen. Mereka terdiri daripada DAP (42), PKR (39) serta Amanah (11) dan selebihnya Gabungan Bersatu Sabah (2), Upko (1), Parti Bersatu Sarawak (1) dan seorang ahli parlimen Bebas.

GPS (18 ahli parlimen) dan Warisan (9 ahli parlimen) sebelum ini menyuarakan sokongan kepada Mahathir tetapi sokongan mereka mungkin bertukar setelah mengetahui cadangan Mahathir.

Kemungkinan besar sokongan berkenaan akan pergi kepada Blok Pro-PH dan jika ini berlaku mereka menguasai 119 kerusi dan sudah cukup untuk membentuk kerajaan yang memerlukan minimum sokongan 112 ahli parlimen dan pastinya mereka menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Jika situas berubah Blok Pro-Tun kembali bergabung dengan Blok Pro-PH ia akan kembali kepada asal dan segala kacau bilau serta kekecohan politik yang timbul ibarat guruh berdentum tetapi hujan tak jadi.

Ia tidak mencapai sebarang apa-apa matlamat terutama untuk mempunyai barisan kabinet yang lebih berkualiti.

Jika itu tidak dapat dielakkan Anwar sebagai perdana menteri boleh menggunakan khidmat golongan profesional dengan melantik mereka sebagai senator dan kemudian melantik sebagai menteri bagi kementerian yang sangat kritikal contohnya kewangan, pertahanan dan luar negara.

Kaedah yang sama pernah digunakan oleh Tun ketika mahu menangani krisis ekonomi yang melanda negara.

Bagaimanapun agak sukar untuk sebuah kerajaan berfungsi dengan baik apabila tidak mempunyai sokongan kuat ahli parlimen terutama ketika keadaan memerlukan keputusan besar dibuat.

Selain itu pertelagahan akan berterusan dalam kalangan orang politik dan membawa kepada rakyat jelata dek kerana rasa tidak puas hati.

Ini akan menyebabkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dirahmati kerana bebas daripada bencana alam seperti gempa bumi dan banjir besar, tetapi akan berada dalam situasi lebih buruk kerana terus dilanda bencana politik.

Oleh itu pilihan yang terbaik adalah dengan membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Kerajaan yang dipilih kali ini bukan kerana janji-janji bulan dan bintang, tetapi adalah berdasarkan prestasi semasa serta realiti.

Selepas melalui fasa perubahan kerajaan buat pertama kali dalam sejarah negara, pastinya rakyat lebih matang dalam membuat pilihan serta dapat membezakan antara yang jelek dengan yang molek.

Biarlah kali ini rakyat yang menjadi ‘kingmaker’ dan bukan orang politik yang sudah cukup memeningkan jelata.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button