NasionalNegeriPendidikan

Kejayaan graduan KUIPs permulaan sebagai pelengkap pembangunan ketamadunan

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kejayaan graduan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) merupakan permulaan kepada pelengkap pembangunan ketamadunan dan kejayaan Malaysia yang maju, mempunyai nilai hidup yang berteraskan prinsip yang berkualiti tinggi, adil dan saksama.

Baginda turut menyeru para graduan agar sentiasa aktif bersama Alumni KUIPs dengan menyumbang sama ada daripada segi kewangan melalui inisiatif wakaf yang telah diperkenalkan mahupun pemikiran supaya KUIPs akan bertambah terpelihara, maju dan dapat terus mengeluarkan graduan-graduan berkualiti yang boleh membina Negara pada masa hadapan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) kepada Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Waris Issara pada Istiadat Konvtokesyen Kali Ke-6 KUIPs di Dewan Harumanis, PTSS, Pauh Putra, Arau.

Baginda bertitah, kejayaan para graduan pada hari ini merupakan perkongsian kegembiraan ibu bapa, penjaga dan keluarga.

“Tahniah diucapkan kerana telah memberikan bimbingan serta nasihat berterusan dengan penuh kasih sayang kepada para graduan untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dalam ilmu pengetahuan serta mendidik mereka dalam membina peribadi, jati diri dan pegangan moral sehingga berjaya”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Canselor KUIPs yang berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-6 KUIPs di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra, Arau.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle serta kepimpinan tertinggi universiti.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Hadis kepada Dr. Muhammad Asri Yussof pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-6 KUIPs di Dewan Harumanis, PTSS, Pauh Putra, Arau.

Raja Muda berkenan untuk menyempurnakan pengurnian Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Hadis kepada Dr. Muhammad Asri Yussof.

Baginda turut mengurniakan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma kepada 173 graduan dari Fakulti Pengajian Islam, 66 graduan dari Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam serta 37 graduan dari Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan.

Menurut Muhamad Rozaimi, sepanjang tahun 2023 KUIPs telah berjaya meningkatkan jumlah pengambilan pelajar baharu dengan pencapaian sebanyak 122 peratus berbanding unjuran pada tahun semasa bagi semua peringkat pengajian.

Kecemerlangan KUIPs dalam bidang akademik turut dibuktikan dengan kejayaan pengiktirafan Penarafan Bersepadu Institut Pendidikan Tinggi Malaysia 2022 (SETARA 22) oleh Jabatan Pengajian Tinggi, dengan pencapaian BERDAYA SAING yang Setaraf dengan 103 universiti lain di Malaysia.

KUIPs turut menawarkan program pengajian yang memenuhi keperluan semasa ‘marketable’ dalam pelbagai dalam semua peringkat pengajian dengan jumlah keseluruhan program sebanyak 26 program aktif yang diiktiraf oleh pihak MQA.

“Pencapaian signifikan ini membuktikan komitmen KUIPs dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan berimpak tinggi kepada pelajar”, tambah Rektor KUIPs itu lagi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan ijazah kepada para graduan pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-6 KUIPs di Dewan Harumanis, PTSS, Pauh Putra, Arau.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan para graduan yang merupakan perkongsian kegembiraan buat ibu bapa, penjaga dan keluarga masing masing.

“Semoga detik ini akan menjadi titik tolak untuk setiap graduan agar mencapai lebih banyak kejayaan, membina peribadi dan jati diri serta menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negera” titah Raja Muda lagi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button