Nostradansa buah tangan Joanna and Co.
INDUSTRI hiburan arus perdana di Malaysia sudah lama jalan seiring dengan artis-artis indie atau suatu ketika di erah 1980an dan 1990an juga disebut sebagai artis under ground.
Kumpulan pemuzik atau artis berkumpulan under ground atau indie ini sebenarnya tidak boleh dipandang lekeh kerana mereka mempunyai peminat yang tegar sejak dulu, kini dan selamanya.
Bahkan sokongan peminat terhadap pemuzik atau grup-grup indie ini bukan sahaja konsisten tetapi kesinambungan sokongan yang berterusan membuatkan artis-artis indie boleh berdiri di atas platform muzik arus perdana.
Joanna and Co. adalah sebuah kumpulan Malaysia yang terkenal dengan muzik pop cara tersendiri mereka.
Mereka telah berada di persada muzik indie sejak 2006 lagi dengan menyertai dan memeriahkan dunia indie Malaysia yang berwarna-warni.
Dikenali dengan hit-hit mereka seperti “Aku Pelangi”, “Lutsinar” dan “Miko”, Joanna and Co tidak pernah patah semangat dalam memperkenalkan lagu-lagu yang dibawakan oleh mereka di halwa telinga penggemar muzik Malaysia.
Dengan semangat yang padu, Joanna and Co. mencipta melodi yang menggetarkan jiwa. Justeru kumpulan ini terus menggegarkan dunia muzik secara amnya dengan album kemunculan album terbaharu mereka berjudul Nostradansa.
Tidak pernah mengamalkan sikap kacang lupakan kulit, Joanna and Co. yang juga boleh dikatakan lahir dari zaman “2000s indie explosion” dan di tahun 2023 ini mereka menghidupkan semula semangat dan keterujaan peminat muzik dengan album Nostradansa yang bakal dilancarkan pada 5 Ogos lalu di semua platform digital utama.
Kata mereka dalam satu kenyataan, Nostradansa menyasarkan untuk menerobos batas-batas muzik kontemporari sedia ada.
Menampilkan lapan lagu, penghasilan Nostradansa bukanlah secara sembrono sebaliknya apa yang dihasilkan adalah berdasarkan penelitian oleh anggota kumpulan itu sendiri.
Oleh itu, adanya gabungan elemen pop, pop moden, city pop dan rock dalam album ini dan pada hemat Joanna and Co., itu boleh menjamin sesuatu dalam memuaskan setiap halwa telinga pendengar.
Untuk rekod, single pertama dari album Nostradansa menggambarkan tentang seni kumpulan ini dan evolusi mereka sebagai pemuzik.
Sebagai pelengkap kelahiran album Nostradansa, satu video muzik akan menyusul dengan story board yang bukan merapu!
Mengenali kumpulan Joanna and Co. ini, mereka terdiri daripada empat sahabat iaitu vokalis utamanya, Joanna, pemain bass, Kusha, gitaris, Jay, dan pemain dram, Meor.
Sebagai penghormatan kepada para peminat yang tidak jemu memberi sokongan sejak 2006, Joanna and Co. ada edisi terhad 300 keping cakera padat atau CD untuk peminat tegar dan kolektor.
Istimewanya untuk salinan fizikal ini, akan terdapat sembilan lagu.
Kata Joanna,”ini adalah album yang mencerminkan perkembangan kami sebagai artis dan mempamerkan kepelbagaian pengaruh muzikal kami. Kami tak sabar untuk semua orang mendengarnya!” – SM