Politik

PRN Negeri Sembilan: Pengundi DUN Lenggeng jangan salah pilih calon

KEMPEN Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri di Negeri Sembilan terus berjalan rancak apabila Pengerusi PH Dato’ Seri Anwar Ibrahim turun padang, malam tadi.

Anwar berkesempatan menjenguk calon PH yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Negeri Sembilan.

Jenguk bukan sembarangan sebaliknya Anwar yang juga Perdana Menteri, menggesa para pengundi di DUN Lenggeng agar tidak tersalah pilih calon. Ini dalam memastikan pembangunan di Negeri Sembilan dapat diteruskan, katanya.

Kata Anwar menerusi catatan di akaun Facebook beliau, gabungan Perpaduan PH-BN menampilkan calon yang cukup baik dan mempunyai tekad yang jelas berkhidmat kepada rakyat.

“Tatkala semua calon PH-BN giat berkempen menerangkan visi dan misi mereka, parti lawan pula masih berbalah antara satu sama lain dan ini jelas membuktikan mereka tiada dasar yang lebih baik untuk diketengahkan kepada rakyat,” kata Anwar.

Anwar juga berkata, “Bagaimana mungkin mereka menyatakan mereka pihak yang ‘bersih’ dan lebih baik daripada Gabungan Perpaduan dalam keadaan beberapa watak pimpinan mereka, turut terpalit dengan kes di mahkamah.

“Sehingga hari ini, mereka masih gagal menyatakan dasar apakah yang lebih baik yang mereka mahu usulkan kepada rakyat di keenam-enam negeri.

“Justeru soalan saya kepada mereka adalah watak manakah yang ubahsuai kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana dengan kos lebih RM30 juta di saat rakyat berdepan masalah pandemik?”

Usai di DUN Lenggeng, malam tadi juga, Anwar lajak ke Labu, Sendayan dalam usaha beliau meneruskan kempen penerangan terkait langkah serta pencapaian yang telah dilakukan dan dilaksanakan di peringkat Persekutuan dalam masa singkat.

“Saya menjelaskan mengenai projek tebatan banjir yang telah diluluskan Kerajaan terdahulu tanpa melalui tender dan prosedur standard kewangan yang menelan belanja sebanyak RM15 bilion.

“Setelah disemak dan ditender semula, Kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM1.8 bilion dan penjimatan itu telah saya salurkan sebanyak RM800 juta kepada kerajaan negeri Johor bagi menyelesaikan masalah banjir di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat melalui projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB),” jelas beliau.

Katanya lagi, baki sebanyak RM1 bilion telah disalurkan kepada kerajaan negeri Kelantan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di sana.

“Saya sebut perkara ini sebagai contoh bukti bahawa ini gerak kerja Kerajaan selama 7 bulan di mana sekiranya tatakelola sesebuah Kerajaan itu baik, hubungan baik antara negeri dan Pusat dijaga dengan tertib maka rakyat pasti mendapat dan menikmati hasilnya,” ujar beliau.

Anwar berkata, ini adalah modal mereka di pihak Kerajaan Perpaduan dalam siri kempen pilihan raya di enam negeri, saat ini.

“Saya amat menggesa calon-calon Perpaduan yang bertanding untuk memperpanjang pencerahan ini kepada rakyat terutamanya mengenai senarai kejayaan dan pencapaian kita dalam tempoh singkat 7 bulan dan bandingkan dengan kegagalan mereka selama 33 bulan mentadbir.

“Dan apakah mereka berani dan bersedia untuk mempertahankan dasar-dasar mereka?,” soal Anwar.

Pesanan Anwar, abaikan cercaan dan sindiran mereka tapi kita mesti perlihatkan contoh serta budaya politik yang lebih matang, lantas tamadun yang madani dapat dipaculkan.

“Justeru lontaran saya kepada pihak sana — serang kami dengan fakta dan silakan sanggah mana-mana dasar Kerajaan Perpaduan yang kalian anggap zalim dan saya bersedia menjawab dan pertahankan. Berani?” kata Anwar. – SM

BACA 573 jadi calon PRN, seorang warga emas dan calon termuda 23 tahun

BACA PRN: Diari semalam PM Anwar

BACA PH Negeri Sembilan tiada masalah kerjasama dengan BN untuk PRN

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button