Nasionalpilihan

Minat generasi baharu di bidang teknologi masih lemah – PM

Kerajaan menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkasa dan mencari jalan terbaik khusus bagi mendidik dan melatih minat generasi baharu dalam bidang teknologi dan sains yang dilihat masih lemah ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia termasuk menubuhkan pasukan khas dalam menyuntik semangat serta bimbingan tentang cabaran dan disiplin baharu dalam bidang itu.

Menurutnya, seiring dengan pelaburan yang besar dalam bidang automotif serta teknologi hijau, penglibatan anak-anak tempatan dalam bidang pengkhususan teknologi amat diperlukan.

Bagaimanapun katanya, laporan akhir yang diterima sebelum ini mendapati minat anak tempatan dalam bidang sains dan teknologi terlalu rendah terutamanya daripada anak-anak tempatan di kawasan pedalaman dan miskin bandar.

“Saya telah minta Menteri Pendidikan adakan pasukan khas untuk mencari jalan menyuntik semua semangat anak-anak supaya didik sebagai manusia tetapi juga diberikan bimbingan tentang cabaran dan disiplin baru dalam bidang teknologi baharu dan sains kerana dari kajian awal minat anak-anak utama di desa pedalaman dan miskin bandar itu minat dalam bidang sains dan teknologi juga merosot.

“Ini cabaran bagi kita dan negara yang menuju ke bidang teknologi hijau, electric vehicle, cabaran iklim, digitalization tetapi tidak cukup anak yang terlatih dalam bidang pengkhususan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Sambutan yang bertemakan ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’ itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Sementara itu Anwar berkata, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan (KPM) diarah memberi keutamaan atau laluan pantas (fast track) untuk kerja-kerja memperbaiki dan pembangunan semula sekolah-sekolah daif di seluruh negara.

Menurutnya, beliau tidak mahu sebarang kerenah pentadbiran mengganggu pelaksanaan segera urusan melibatkan sekolah-sekolah daif, selaras dengan keutamaan dalam Belanjawan Madani 2023 yang memperuntukkan peruntukan terbesar untuk sektor pendidikan.

“Saya telah memberikan arahan kepada Kementerian Kewangan dan KPM untuk menjalankan mengikut fast track, saya tidak mahu ada sebarang kerenah pentadbiran yang menganggu pelaksanaan segera sekolah-sekolah daif.

“Bagaimana boleh kita mengeyakan sekolah-sekolah dalam keadaan negara memacu pertumbuhan membanggakan, dalam keadaan di mana hasilnya bertambah dan kita pernah mencatat kejayaan yang sangat membanggakan,” ujarnya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button