Nasionalpilihan

Peserta MFLS teruja keramahan Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis

PARA peserta Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 Tahun 2022 amat gembira dan teruja dengan komitmen serta keramahan mesra secara bersahaja Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika Baginda berdua berkenan berangkat menghadiri ‘Majlis Titipan Titian Kasih Bersama DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis’ di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam, Selangor pada petang semalam.

Program anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Malaysia ini merupakan modul program di bawah elemen kenegaraan iaitu Institusi Beraja.

Modul ini bertujuan untuk mendekatkan rakyat khususnya belia dengan Institusi Beraja selain memahami realiti dan fakta tentang kepentingan sistem pemerintahan beraja atau sistem kesultanan.

Menyambut keberangkatan tiba tetamu diraja berkenaan ialah Ketua Pengarah i-LEAD, Mohd Haswandi Ahmad yang diiringi Presiden serta Timbalan Presiden MFLS Tier 3, Fadhlin Hadhira Mohad Hakimi dan Muhammad Fadhlan Muaallin Ahmad Fauzi.

Hadir sama ke majlis yang dijayakan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) pada kali ini ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS Abdullah Hasan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS Ramona Mohd Razali serta Pengurusan Tertinggi KBS.

Objektif utama program MFLS Tier 3 ini adalah berdasarkan 7 elemen iaitu kepimpinan, kenegaraan, pembentukan watak dan jati diri, keusahawanan, kesukarelawanan, komunikasi dan pengantarabangsaan.

Ia dilaksanakan secara bersemuka sepenuhnya bermula pada 16 Julai 2022 sehingga 30 Julai 2022.

Peserta Tier 3 tahun 2022 ini adalah seramai 150 orang yang terdiri dalam kalangan peserta terbaik program MFLS Tier 2 pada tahun 2019, 2020 dan 2021.

Mereka ini dipilih melalui proses saringan dan sesi temu duga yang telah dilaksanakan di seluruh negara pada 17 hingga 19 Mei 2022 dan 7 hingga 9 Jun 2022.

Program yang berlangsung daripada 16 Julai 2022 sehingga 30 Julai 2022 ini telah sampai hari yang ke-12 pada majlis yang melibatkan keberangkatan Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis ini dan ia merupakan tahun ketiga program ini dilaksanakan.

Sepanjang 12 hari ini, pelbagai pengisian telah berlangsung antaranya Bicara Tokoh, Bicara Ikon, Bicara Kenegaraan, Bicara Jati Diri, aktiviti kesukarelawanan, lawatan institusi, perbahasan ala parlimen dan Komunikasi Berimpak Tinggi.

Kesemua slot ini disusun sebagai pendedahan secara langsung kepada para peserta berkaitan elemen-elemen yang diterapkan sepanjang program ini.

Sempena program yang sama pada sebelah paginya para peserta program turut dikongsikan sesi ceramah bertajuk “Raja Muda Perlis : Berjiwa Rakyat Menyantuni Masyarakat” oleh Setiausaha Sulit kepada DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Zaharin Haris, “Kemudi DiRaja Bahtera MAIPs” oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan “Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan” oleh Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. – SM

Artikel berkiatan > Sektor swasta diharap labur projek baharu Chuping Agro-Valley – Raja Muda Perlis

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button