Enam rakan strategik baharu PSAS
Sejajar dengan reformasi sistem pendidikan TVET yang menuju ke arah IR4.0, Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) menerusi Corporate Industrial Services and Employability Centre (CISEC) bertindak mengadakan perkongsian dengan enam industri dan institusi pengajian tinggi sekali gus membina jaringan yang komprehensif.
Institusi yang membabitkan K6 Tech Sdn. Bhd, Eshia & Associates Sdn. Bhd & Test Center Malaysia, RELA Negeri Perak, Persatuan Woodball Malaysia, Kiffah Travel & Tours (M) Sdn. serta Universiti Kebangsaan Malaysia itu menandatangani Sijil Kolaborasi yang diadakan semalam.
Pengarah PSAS, Muhammad Zubir Mohd. Hanifah berkata menerusi kolaborasi itu ia dapat menjadi platform bagi memperkasakan bakal graduan politeknik dari aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap sejajar dengan kehendak industry.
PSAS, katanya, amat komited dalam menjalin dan meningkatkan jaringan kolaborasi yang luas dengan pihak industri selaras dengan teras strategik kelima JPPKK iaitu memperkukuhkan kolaborasi industri dan komuniti.
“Walaupun negara kini masih menghadapi krisis akibat pandemik Covid-19, ia tidak membantutkan usaha PSAS dalam memperluaskan jaringan kolaborasi bersama pihak industry,” katanya.
Katanya, hubungan dua hala amat penting dalam memberi pendedahan kepakaran industri kepada bakal graduan dan memperluaskan akses kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam dunia pekerjaan sebenar.
Beliau berkata modal insan merupakan aset berharga bagi sesebuah negara yang perlu ditingkatkan nilai inteleknya bersesuaian dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta masa hadapan.
“Semoga kolaborasi yang dimeterai ini akan menjadi tunggak sejarah ke arah permulaan usahasama yang bakal membuahkan hasil dan dimanfaatkan kepada graduan, kepada bakal-bakal graduan, kepada institusi, industri dan negara secara keseluruhannya, “ katanya.
K6 Tech Sdn. Bhd diwakili Timbalan Pengarah, Prof Adjung Kamruzaman Jahidin; Pusat Kajian Pembudayaan Stem, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia ( Dr. Marlissa Omar dan Dr. Nurazidawati Mohamad Arsad), Eshia & Associates Sdn. Bhd & Test Center Malaysia (Pengarah Urusan, Ezani Amir), Pengarah Rela Negeri Perak, Tpjr Kamarul Idzham Kamal, Persatuan Woodball Malaysia (Presiden, Elaine Tan) serta Kiffah Travel & Tours (M) Sdn. Bhd diwakili Pengurus Besarnya, Ummu Habibah Amaludin.
KETERANGAN GAMBAR
Gambar 1- Muhammad Zubir (tengah) bersama wakil enam agensi selepas Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi.
Gambar 2- Muhammad Zubir bertukar dokumen dengan Dr Marlissa
Omar dari Pusat Kajian Pembudayaan STEM UKM.
(Foto ihsan PSAS)