Negeri

650 anggota Askar Wataniah gotong-royong di Kampung Seberang Ramai

Seramai 650 orang anggota Askar Wataniah Politeknik Malaysia (MALPTAAC) yang terdiri daripada Pegawai dan Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam Program Jiwa Murni yang dijalankan melalui aktiviti gotong royong yang diadakan di Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis pada ahad.

Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat hadir bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Gerobok Rezeki dan Program Jiwa Murni tersebut di Dewan Dataran Semarak kampung berkenaan.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS) Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Rejimen 504 Askar Wataniah, Angkatan Tentera Darat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) seta kepimpinan masyarakat setempat bagi sama-sama membersihkan dan mengindahkan kawasan di sekitar kampung ini.

Objektif projek ini dilaksanakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara warga Tentera Darat dan Askar Simpanan dengan memberikan sumbangan tenaga serta bakti kepada masyarakat setempat yang melibatkan sebanyak 11 lokasi terpilih.

Antara lokasi yang terlibat dalam program pada kali ini adalah Lorong Askar Wataniah, Rumah Dodol Warisan Cik Wan, Laman Teratak Impian, Laman Bunga Raya, Anjung DiRaja, Kampung Pulau Ketam, Masjid Kampung Tanjung, Lorong Rakyat, Laman Bunga Kertas dan beberapa lokasi terpilih lagi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataiah berkenan untuk menyaksikan Penyampaian Sumbangan Gerobok Rezeki daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) oleh Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib Ismail merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kepada 29 orang asnaf yang terpilih dari kampung-kampung berdekatan.

Tuanku Pemangku Raja turut berkenan untuk mengetuai kayuhan bagi meninjau kerja-kerja di sekitar kawasan Kampung Warna Warni Seberang Ramai yang diiringi sama oleh Pegawai-Pegawai Kanan Angkatan Tentera Darat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button