2,700 pencabar muda sertai STEM Maxis
PERTANDINGAN Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Maxis peringkat kebangsaan yang pertama, Misi Jelajah Digital, telah menarik lebih 2,700 pencabar muda sejak dilancarkan awal bulan ini.
Pertandingan anjuran eKelas, iaitu program komuniti utama Maxis, bertujuan untuk memupuk kebolehan pemikiran kritis di kalangan pelajar dan mendorong mereka untuk berinovasi melalui kemahiran koding, kebolehan kreatif dan pemikiran rekaan (design thinking) yang bakal menjadi komoditi baru di masa hadapan.
Semasa webinar pelancaran pertandingan, para pencabar berpeluang mendengar perkongsian khas oleh Prof. Datuk Seri Dr. Mazlan Othman, iaitu ahli astrofizik pertama Malaysia dan bekas Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Hal Ehwal Luar Angkasa (United Nations Office for Outer Space Affairs).
Beliau telah berkongsi tentang kepentingan usaha penerokaan ruang angkasa dalam mengejar kemajuan saintifik dan semakin pentingnya kemahiran STEM untuk masa depan.
“Ruang angkasa sering dianggap sebagai puncak pencapaian manusia dalam bidang sains, dan selalu menjadi visi dan harapan saya untuk melihat anak muda Malaysia berusaha untuk mencapai bintang.
“Apa yang saya sukai mengenai Misi Jelajah Digital ini adalah pendekatan dalam membawa pembelajaran STEM dengan cara yang menyeronokkan dan menarik sambil mendorong kreativiti dan meneroka misteri ruang.
“Lebih penting lagi, kerana pertandingan ini terbuka untuk pelajar di seluruh negara, ia membantu merapatkan jurang STEM antara mereka di bandar dan luar bandar,” kata Dr. Mazlan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha, berkata, program eKelas itu didorong oleh semangat untuk memartabatkan bidang pendidikan, dan Maxis ingin mendorong pelajar untuk melihat masa depan digital dengan menawarkan kandungan pembelajaran yang menyeronokkan dan bersemangat.
“Kami gembira dapat menyediakan platform ini untuk meluaskan lagi pemikiran para pelajar eKelas kami. Misi Jelajah Digital juga mewakili keinginan kami untuk memperluas penawaran eKelas kami ke dalam
kandungan yang berkaitan dengan STEM pada masa akan datang dengan pembelajaran yang lebih bersepadu.
“Kami mengharapkan kreativiti dan inovasi pelajar yang mengambil bahagian dan mengucapkan yang terbaik dalam perjalanan menarik mereka,” katanya.
Misi Jelajah Digital dianjurkan dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) #mydigitalmaker and Lenovo Technology Sdn Bhd (Lenovo Malaysia).
Diluluskan dan disokong oleh Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia,
pertandingan ini dijalankan mengikut Piawaian Persatuan Teknologi Antarabangsa dalam Pendidikan (ISTE), dan dibahagikan kepada dua kategori: iaitu. Misi Bumi, di mana pelajar akan menyelesaikan cabaran rintangan dalam dunia Maxis eKelas Roblox yang dibina khas dan menemui ganjaran tersembunyi.
Setelah menamatkan cabaran tersebut, mereka juga boleh melayari portal eKelas untuk menyertai siri Roblox Game Development dan belajar cara mengekod dan membina dunia mereka sendiri.
Yang kedua Misi Marikh, di mana pelajar akan menerokai dunia angkasa dengan merekabentuk kapal angkasa tersendiri dan merancangkan sebuah dunia koloni baru manusia. Mereka boleh menyelesaikan tugasan ini secara melukis dengan tangan, atau dengan mengekod dengan bahasa pengaturcaraan visual Scratch.
Pertandingan tersebut akan berlangsung sehingga 31 Oktober 2021 dan terbuka kepada pelajar berumur 10 – 17 tahun (Tahun 4 hingga Tingkatan 5). Mereka yang mendaftar untuk menyertai pertandingan juga akan menerima mata kredit pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK) sambil berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk komputer riba, peranti mudah alih, baucar dalam talian dan sebagainya.
Dalam beberapa minggu yang akan datang, para pencabar akan terus mendapat akses kepada video penjelasan, nota dan modul dari mana mereka dapat mempelajari asas pengekodan dan rekabentuk. Terdapat juga perbincangan merangkumi topik STEM dan bengkel tutorial secara langsung di mana mereka boleh mendapatkan petua untuk menyelesaikan cabaran dan panduan permainan. Selain itu, pada 23 Oktober, para pencabar Tingkatan 5 dijemput ke sesi perkongsian khas mengenai kerjaya bidang STEM yang akan dibentangkan oleh wakil Maxis, MDEC dan Lenovo.