20 tahun Zahnita derita keganasan rumah tangga, kini suami ditahan
SUAMI kepada bekas model terkenal, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, telah ditahan pihak polis selepas didakwa melakukan keganasan rumah tangga. Zahnita, yang dikenali sebagai figura dunia peragaan pada awal 2000-an, akhirnya membuka mulut tentang penderitaan yang ditanggungnya hampir 20 tahun mendirikan rumah tangga.
“Saya terpaksa mendedahkan perkara ini. Saya sudah berdepan masalah kekerasan rumah tangga sejak sekian lama,” ujarnya ketika ditemui.
Zahnita mendedahkan, insiden keganasan terbaru berlaku selepas dia bertanya suaminya tentang kehadiran orang ketiga dalam hubungan mereka.
“Punca saya dipukul adalah sebab saya bertanya suami tentang hubungannya dengan wanita lain, tetapi langsung tidak boleh dibawa berbincang,” jelas Zahnita.
Bekas peragawati itu kini berada di Kuantan dan sedang menanti kehadiran peguamnya dari Kuala Lumpur untuk berbincang mengenai tindakan undang-undang seterusnya.
Permohonan Cerai Pernah Difailkan
Ini bukan kali pertama pergolakan rumah tangga mereka mendapat perhatian. Pada 2013, Zahnita pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor. Menurut Zahnita, masalah rumah tangga mereka sudah mula timbul sejak penghujung 2011, namun mereka berjaya memperbaiki hubungan dan meneruskan kehidupan bersama.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata.