Sukan

160 pemain amatur beraksi di BDB Masters & Charity Golf 2024

Kejohanan BDB Masters & Charity Golf 2024 melabuhkan tirai dengan jayanya apabila berjaya menarik seramai 160 penyertaan sepanjang tiga hari kejohanan tersebut berlangsung di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Kedah.

Mengulas mengenai kejohanan tersebut, Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Raja Shahreen Raja Othman berkata BDB Masters and Charity Golf 2024 sememangnya merupakan kejohanan golf amatur yang paling ditunggu-tunggu pada setiap tahun dan ia diterjemahkan dengan jumlah penyertaan seramai 160 peserta dari seluruh tanah air di mana lebih 90 peratus daripada mereka terdiri pemain dari luar Kedah.

Menurut beliau, kejohanan tersebut dibahagikan kepada lima kategori iaitu Gross Open, Nett Open, Nett Intermediate, Senior Gross dan Nett Senior dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000.

“Selain daripada hadiah keseluruhan, tarikan utama kejohanan ini juga ialah hadiah untuk pukulan “Hole In One” iaitu dua buah kereta iaitu Proton X50 dan Proton S70 bernilai lebih RM180,000.00 di mana para pemain mempunyai dua peluang memenanginya pada hari kedua dan ketiga kejohanan.

“Untuk itu, BDB terus komited dalam usaha untuk menawarkan pertandingan golf terbaik di kawasan utara tanah air yang mempunyai kelainan bukan sahaja dari segi hadiah yang ditawarkan malahan cabaran yang dapat menarik minat peserta.

Muhammad Farez Mohd Azihan, 24 dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan merekodkan 214 pukulan sepanjang tiga hari kejohanan sekaligus menewaskan pencabar-pencabar terdekatnya iaitu Nor Haqeim Nor Hadi dan Shakiran Johari yang mana kedua-duanya mencatatkan 217 pukulan.

Kejayaan Muhammad Farez itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah keseluruhan iaitu wang tunai sebanyak RM2,800 serta trofi kejuaraan yang disampaikan oleh Raja Shahreen.

Kejohanan tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi BDB Darulaman Golf Resort Berhad, Datuk Abdul Rahman Abdullah, serta barisan pengurusan kanan Kumpulan BDB.

Dalam majlis yang sama, Raja Shahreen memaklumkan sebanyak 10 buah sekolah terpilih telah menerima sumbangan bernilai RM10,000.00 yang dikumpul sepanjang berlangsung kejohanan BDB Masters & Charity Golf 2024.

Ujar beliau, sumbangan tersebut merupakan kutipan yang dikumpul bersempena perlawanan amal dan akan diserahkan kepada sekolah-sekolah terpilih di Negeri Kedah.

“BDB telah mengenalpasti sekolah tersebut berdasarkan keperluan serta keupayaan kewangan yang diperlukan oleh mereka manakala baki daripada kutipan berkenaan akan dikumpul dalam tabung khas yang akan digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, usaha kecil mengumpul dana sumbangan yang dilaksanakan oleh BDB menerusi penganjuran BDB Masters & Charity Golf 2024 ini mendapat kerjasama dan sokongan kuat daripada pelbagai pihak sekaligus ia membolehkan untuk membantu mereka yang memerlukan terutamanya di Negeri Kedah,” katanya.

BDB Masters & Charity Golf 2024 pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember 2024 namun terpaksa ditangguhkan disebabkan bencana banjir yang berlaku di sekitar Daerah Kubang Pasu dan sebahagian Negeri Kedah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button