1,578 anggota, pegawai polis di Perlis mengundi awal
SEBANYAK 1,578 anggota dan pegawai polis di seluruh negeri Perlis mengundi awal di sembilan pusat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pusat mengundi di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis melibatkan 533 orang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar (297 orang), IPD Arau (207 orang), IPD Pdg Besar (274) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 Kompeni D (267).
“Setakat in saya difahamkan sejak pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi di Bangunan Serbaguna IPK sebanyak 15 peratus anggota dan pegawai polis telah keluar mengundi,” katanya pada media.
Sebelum itu, Surina sampai ke pusat mengundi pada pukul 8.30 pagi untuk membuang undi.
Surina berkata, setakat ini proses pengundian melibatkan anggota dan pegawai berjalan lancar.
Katanya, pihaknya setakat inu hanya satu laporan polis diterima apabila pengadu di Kangar ini mendakwa berlaku kekurangan pada bendera yang dipasang.
Surina berkata, sebanyak 215 permit dikeluarkan di mana 88 untuk ceramah dan 127 bagi kempen bergerak. – SM